Selangor batal bazar Ramadan


Bede Hong

Selangor membatalkan bazar Ramadan di seluruh negeri bagi tahun ini sehingga mendapat kebenaran KKM, kata Menteri Besar Amirudin Shari. – Gambar fail The Malaysian Insight, 1 April, 2020.

KERAJAAN negeri Selangor membatalkan semua bazar Ramadan di seluruh negeri susulan wabak Covid-19, kata Menteri Besar Amirudin Shari.

“Kerajaan negeri baru tadi bermesyuarat melalui Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, malah Setiausaha Kerajaan Negeri akan mengeluarkan arahan sebentar nanti bahawa kita akan membatalkan bazar Ramadan sehingga masa bersesuaian ditetapkan,” katanya pada sidang media hari ini.

“Jika Kementerian Kesihatan (KKM) dan Jabatan Kesihatan Negeri menyarankan sudah boleh dilakukan, kita akan buat, tetapi buat masa ini kita tangguhkan apa-apa pelaksanaan bazar Ramadan.”

“Saya percaya nanti, mungkin akan ada bazar Ramadan dalam talian, kerana akan ada keupayaan untuk penghantaran dalam talian,” katanya selepas mengumumkan Pakej Rangsangan Ekonomi Selangor Prihatin 2.0 hari ini.

Terdahulu, Menteri Wilayah Persekutuan Annuar Musa berkata masih belum ada keputusan sama ada bazar Ramadan boleh diteruskan kerana negara sedang berdepan pandemik Covid-19.

Annuar berkata pihak berkuasa tempatan akan memberi taklimat kepadanya Jumaat ini berkenaan cadangan untuk bazar Ramadan.  – 1 April, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen