RUMAH panjang di seluruh Sarawak mempunyai cara pelik masing-masing dalam berdepan dengan pandemik Covid-19 dan membantu memutuskan rantaian penularan virus itu, kata penduduk.
Mereka memberitahu The Malaysian Insight bahawa dalam masyarakat luar bandar di mana kepercayaan tradisional masih diamalkan secara meluas, perintah berkurung yang mereka laksanakan untuk menangani Covid-19 tidak berasaskan kepada sains perubatan.
Rumah panjang etnik Iban di Rumah Jubang, Sebangki Panjai di Lubok Antu, salah satu daripada rumah panjang seumpama itu.
Tuai rumah mengarahkan perintah berkurung kerana beliau mengalami mimpi buruk.
“Perintah berkurung bukan kerana takut rumah panjang itu dekat dengan Betong, di mana tujuh ahli tabligh menghadiri perhimpunan di Petaling Jaya, membawa virus itu dalam masyarakat di sini,” kata penduduk Doris Melia kepada The Malaysian Insight.
Tuai rumah, Jubang Bin memberitahu penduduk di rumah panjang 50 pintu itu dengan populasi kira-kira 100 penduduk tetap, 180km dari Kuching, beliau bermimpi Tuhan yang melindungi rumah panjang itu daripada “pelbagai semangat jahat dan penyakit” marah dan mengugut untuk pergi.
“Semangat jahat itu termasuk yang membawa penyakit seperti virus Covd-19 yang berjangkit itu,” kata Melia.
Selepas mesyuarat bersama warga tua rumah panjang, Jubang pada Selasa lalu mengarahkan perintah berkurung sepenuhnya dua hari satu malam bagi mereka menenangkan tuhan-tuhan dalam satu upacara dipanggil “ngampun”.
“Dengan berita tentang pandemik itu di televisyen dan statistik kematian setia hari serta jumlah jangkitan didedahan setiap hari, semua orang di rumah panjang sedar tentang bahaya Covid-19.
“Tetapi warga tua masih percaya ngampun adalah antara cara menghalang Covid-19 datang ke rumah panjang,” kata Melia.
“Mereka (warga tua rumah panjang) tidak perlu 14 hari,” kata seorang lagi penduduk yang enggan dinamakan, merujuk kepada tempoh kuarantin 14 hari bagi waktu inkubasi virus berkenaan, yang setakat ini menjangkiti 156 orang dan menyebabkan lapan kematian di negeri itu.
“Mereka hanya perlu tiga hari. Mereka percaya tuhan-tuhan itu cukup berkuasa untuk menghalang koronavirus.”
Elemen penting dalam upacara ngampun ialah “miring” (sembahyang) selama sejam di mana tiga piring dipersembahkan untuk menenangkan tuhan-tuhan yang marah supaya mereka akan terus menjaga kesejahteraan penduduk rumah panjang itu.
Tiga piring persembahan itu kemudian diletakkan di pintu masuk utama ke rumah panjang.
Bahagian utama dalam persembahan itu ialah tiga set “pentiks”, atau patung kayu, mewakili sepasang penduduk, yang diukir daripada kayu lembut.
Mereka percaya kuasa tuhan-tuhan dipindahkan ke pentik yang menjaga tiga pintu masuk utama rumah panjang.
“Jika tuhan berpuas hati, semua penyakit akan dihantar pulang ke tempat ia bermula,” kata Melia.
Dalam tiga hari itu yang bermula malam 25 Mac dan serta-merta selepas upacara ngampun, semua penduduk tidak boleh keluar dan pengunjung tidak diterima datang ke rumah panjang.
Penghadang dipasang di pintu masuk dengan notis bertulis memberi amaran kepada orang ramai tentang perintah berkurung itu.
Mereka yang melanggar undang-undang berkurung ini – sama ada penduduk atau pengunjung – akan didenda RM1,000 – perlu dibayar serta-merta, dalam bentuk tunai kepada tuai rumah.
“Tidak ada siapa boleh keluar, sama ada pergi menangkap ikan, memburu atau ke kebun. Tidak ada siapa boleh masuk ke rumah panjang.
“Perintah berkurung tamat pada Jumaat,” kata Melia, menambah mereka berharap virus itu tidak akan menjangkiti sesiapa pun di rumah panjang.
Perintah berkurung rumah panjang itu adalah tambahan kepada perintah kawalan pergerakan (PKP) yang dikuatkuasakan bermula 18 Mac. Ia sepatutnya berakhir semalam, tetapi dilanjutkan dua minggu lagi hingg 14 April.
Bagi Sebangki Panjai, atau berpuluh-puluh lagi rumah panjang di Lubuk Antu, setiap hari seperti PKP.
Ketika siang, mereka ke sawah padi, memburu atau menangkap ikan. Pada waktu malam, mereka menghabiskan masa di depan televisyen.
Tidak ada pub, panggung wayang dan pusat beli-belah berbatu jauhnya, malah tidak ada di bandar Lubuk Antu yang sejauh 15km. – 1 April, 2020.
Komen