Selangor umum pakej rangsangan ekonomi kedua petang ini


Menteri Besar Selangor Amirudin Shari dijadual membuat pengumuman itu pada jam 3 petang ini.– Gambar fail The Malaysian Insight, 1 April, 2020.

SELANGOR akan mengumumkan satu lagi pakej rangsangan ekonomi petang ini untuk mengurangkan kesan tamparan penularan pandemik Covid-19 terhadap rakyat negeri.

The Malaysian Insight difahamkan pakej rangsangan ini akan memberi perhatian antaranya kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS), yang menyediakan peluang pekerjaan kepada majoriti rakyat negeri.

Menteri Besar Amirudin Shari dijadual membuat pengumuman itu pada jam 3 petang ini.

“Kerajaan Selangor akan mengumumkan satu lagi pakej rangsangan buat rakyatnya pada 1 April ini (hari ini),” tulisnya di Twitter semalam.

Pakej rangsangan kedua ini adalah susulan pakej pertama yang beliau umumkan pada 20 Mac lalu.

Pakej pertama yang diberi nama Pakej Selangor Prihatin melibatkan tujuh inisiatif dengan nilai peruntukan sebanyak RM127.78 juta.

Peruntukan tersebut merangkumi antaranya sumbangan RM200 kepada 6,000 petugas di semua hospital di Selangor.

Sebanyak 80,000 penjaja dan peniaga pula diberikan pengecualian sewa bulanan, serta bantuan tunai RM500 setiap seorang.

Anak Selangor yang belajar di Sabah dan Sarawak pula diberi bantuan RM200 manakala pelajar di kolej dan universiti negeri yang tidak pulang ke kampung diberikan bantuan makanan percuma.

Untuk rakyat umumnya, kerajaan menyediakan peruntukan RM30,000 kepada wakil rakyat untuk membantu mereka yang memerlukan di kawasan masing-masing.

Selangor adalah negeri paling teruk terjejas Covid-19, dengan 25% daripada keseluruhan 2,766 kes positif virus itu dikesan di negeri itu. Daripada 704 kes yang positif, 32 orang meninggal dunia di Selangor. – 1 April, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen