PAS menerima usul untuk memutuskan hubungan dengan PKR, yang mengakhiri hubungan tegang sejak berbulan lamanya dengan sekutu politik mereka itu.
Usul yang dibentangkan wakil Dewan Ulama Pusat, Zulkifli Ismail menyifatkan ia wajar dilakukan memandangkan tindakan PKR yang tidak setia kawan selama ini.
“Kenyataan PKR secara terbuka jelas dan keceluparan mereka sekal igus menunjukkan tindakan tidak setia kawan mereka. Sempena muktamar ke-63 kami kami mengusulkan putus tahaluf siyasi antara PKR,” katanya semasa membentangkan usul tersebut di Kota Sarang Semut, Alor Setar.
Usul tersebut disokong sebulat suara oleh semua pewakilan dan akan dibawa ke Majlis Syura untuk keputusan rasmi.
Katanya, keputusan nekad memutuskan tahaluf siyasi memandangkan PKR melanggar perjanjian dan lari daripada matlamat asal.
Antaranya, ketika PKR menyokong calon Amanah dan menentang PAS dalam dua pilihan raya kecil Kuala Kangsar dan Sungai Besar tahun lepas.
Malah, PKR turut bersama DAP menentang keras RUU355 bagi memperkasakan undang-undang syariah.
Usul tersebut disokong pewakilan Pasir Mas Fadli Saari yang mendakwa PKR mencuri Ahli Parlimen PAS Kamaruddin Jaafar.
“Apa nilai persahabatan apabila pemimpin PAS dicuri. Kita ingin mencabar beliau bertanding sendirian di Tumpat secara anak jantan.”
Selain itu Fadli turut mengugut PKR mengenai peletakan jawatan di peringkat pentadbiran negeri di Selangor.
Katanya, PKR juga perlu ingat kerajaan Kelantan mempunyai wakil rakyat daripada parti itu dan tindakan sama boleh dilakukan oleh PAS. – 30 April, 2017.
Komen