PENGUNDI di Malaysia tidak akan terpengaruh dengan ahli politik yang didakwa mengeksploitasikan wabak koronavirus untuk meraih sokongan dengan pakej bantuan yang tertera gambar dan nama mereka.
Penganalisis politik memberitahu The Malaysian Insight, pengundi di Malaysia sudah cukup matang untuk menyedari bantuan seperti itu adalah daripada wang pembayar cukai dan bukan duit poket ahli politik.
Menurut mereka, penggunaan taktik lapuk itu akan memberi tamparan kepada personaliti terbabit yang akan dilihat tidak beretika dan tidak bermoral, terutamanya ketika negara sedang dilanda krisis.
Dakwaan beberapa ahli politik daripada Perikatan Nasional menggunakan wabak koronavirus untuk mempromosikan diri mereka kini muncul di laman web Sarawak Report.
Bungkusan beras, tepung, gula dan pembasmi kuman yang dihiasi gambar pemimpin Perikatan didakwa diedarkan kepada golongan memerlukan yang hilang pendapatan berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) oleh kerajaan.
PKP dikuatkuasakan pada 18 Mac bagi memutuskan rantaian jangkitan Covid-19 di negara yang mana setakat ini jumlah jangkitan Covid-19 direkodkan adalah 2,766 dengan 43 kematian.
The Malaysian Insight turut menghubungi beberapa pemimpin berkenaan dan menunggu maklum balas daripada mereka berhubung dakwaan itu.
Ahli sains politik, Profesor James Chin berkata, ini adalah percubaan yang oportunis untuk mempromosi diri sendiri untuk individu yang terlibat.
“Mereka sebenarnya tidak peduli dengan reputasi mereka. Mereka hanya mahu bawa jenama mereka di luar sana,” kata penganalisis dari University of Tasmania.
Pensyarah Universiti Malaya Awang Azman Awang Pawi berkata anggota pentadbiran itu kembali ke politik sokongan yang bertemakan Barisan Nasional.
“Penaung ingin menunjukkan kepada kliennya bahawa dia mempunyai wang untuk diberikan kepada mereka. Tetapi apa yang tidak sesuai adalah bukan wang miliknya yang dibelanjakan tetapi dana awam,” kata Awang Azman
Walau apa pun niat mereka, kumpulan anti-rasuah Transparency International-Malaysia berkata perbuatan sedemikian adalah tidak beretika kerana bantuan itu dibiayai oleh dana pembayar cukai dan bukan dari poket ahli politik.
“TI-Malaysia menggesa Perdana Menteri Muhyiddin Yassin untuk menyiasat perkara ini dan jika benar, ia perlu dihentikan dengan segera,” kata presiden TI-Malaysia Dr Muhammad Mohan.
“Ini bertentangan dengan prinsip asas etika dan tadbir urus yang baik yang dijanjikan oleh kerajaan,” kata Muhammad.
Hanya bahan lawak
Ahli-ahli politik ini adalah silap jika mereka percaya usaha sedemikian akan memberi undi mereka, kata Mohd Azlan Zainal dari Ilham Centre.
“Kebanyakan maklum balas media sosial terhadap ‘aksi politik’ ini adalah negatif dan mereka sama ada menjadi bahan lawak atau sasaran kemarahan,” kata Azlan kepada The Malaysian Insight.
“Politik populis semasa krisis tidak akan mendapat sokongan rakyat. Ini bukanlah masa untuk meraih sokongan politik atau memancing undi.”
Keluarga berpendapatan rendah dan yang memerlukan tidak peduli dari mana bantuan itu datang sama ada daripada kerajaan, pembangkang atau kumpulan masyarakat sivil selagi ia diedarkan tepat pada masanya, kata Azlan.
“Harapan mereka ialah apa sahaja bantuan dalam pakej rangsangan diedarkan dengan segera oleh kerajaan kerana mereka perlu mengharungi perintah kawalan pergerakan tanpa sebarang pendapatan.”
Awang Azman turut senada, dan mengatakan bahawa penerima bantuan itu mungkin tidak akan melihat parti mana menyampaikannya.
“Masyarakat sudah cukup matang. Mereka akan terima apa sahaja bantuan yang diberikan dan tidak bermakna oleh kerana mereka menerimanya, mereka akan undi kamu.” – 1 April, 2020.
Komen