PEKERJA asing dalam beberapa sektor diabaikan dan kelaparan oleh majikan mereka sejak Perintah Kawalan Pergerakan Covid-19 (PKP) dikuatkuasakan, kata Pengarah Tenaganita, Aegile Fernandez.
Majikan terbabit menghilangkan diri, meninggalkan pekerja warga asing tanpa gaji dan makanan di tempat kerja mereka.
Pekerja asing terbabit takut untuk keluar mencari makanan kerana bimbang ditahan pihak berkuasa, kata Fernandez.
Beliau turut merayu kepada majikan terbabit agar tidak lupa dan bersimpati kepada pekerja asing ketika kawalan pergerakan Covid-19.
“Pekerja-pekerja ini telah bekerja untuk kamu, mereka telah terhimpit, hidup dalam keadaan yang dahsyat, bekerja berjam-jam.”
Tenaganita yang merupakan kumpulan hak asasi untuk pendatang, pelarian, wanita dan kanak-kanak, memberitahu The Malaysian Insight pihaknya menerima panggilan daripada pekerja asing mengenai keadaan mereka.
“Banyak pekerja asing yang ditinggalkan. Oleh kerana kami membantu mereka dengan menyediakan makanan, jadi kami menerima panggilan daripada mereka.
“Ada panggilan yang diterima adalah daripada pekerja terlibat dan ada juga panggilan oleh mereka yang berada di kawasan sama memaklumkan kepada kami bahawa pekerja ini tiada bekalan makanan,” kata Fernandez.
Selain ditinggalkan, pekerja ini juga takut untuk meninggalkan tempat tinggal mereka bagi mendapatkan bantuan kerana bimbang ditangkap pihak berkuasa.
“Mereka tidak keluar kerana takut ditangkap, bermakna mereka tidak boleh mencari makanan.”
Malah katanya, ada di antara mereka mengadu tidak mendapat gaji sejak Mac, dan majikan mereka “menghilangkan diri” sejak PKP dikuatkuasakan pada 18 Mac.
“Ada di antara mereka mendapat gaji untuk bulan Februari, jadi mereka menunggu gaji Mac,” kata Fernandez.
Tenaganita menerima aduan daripada pekerja di pelbagai sektor, termasuk perladangan kelapa sawit, perkilangan, pembinaan dan ladang sayur.

Kebanyakan mereka kini tinggal di tempat kerja, seperti tapak pembinaan.
“Mereka yang tinggal di rumah kongsi di tapak pembinaan berkata, majikan mereka tidak muncul (sejak PKP dikuatkuasa).
“Dalam sektor pembinaan, pekerja biasanya di bawah pengurusan orang tengah atau kontraktor. Ketika ini kontraktor menghilangkan diri dan meninggalkan pekerja terabai.
“Menurut pekerja, mereka cuba hubungi kontraktor mereka, namun tiada jawapan.”
PKP dikuatkuasakan pada 18 Mac bagi memutuskan rantaian jangkitan Covid-19 di negara ini. Ia kemudian dilanjutkan sehingga 14 April berikutan peningkatan jumlah jangkitan.
Setakat semalam, jumlah jangkitan Covid-19 direkodkan adalah 2,766 dengan 43 kematian.
Fernandez berkata, rancangan kerajaan untuk menyediakan makanan dan membantu golongan kurang berkemampuan di bawah PKP tidak jelas berhubung bagaimana pekerja asing akan dibantu.
“Adakah pihak berkuasa akan bertindak tegas terhadap kontraktor? Kita tidak tahu.”
Kerajaan membuat keputusan kumpulan masyarakat sosial dan amal yang menyediakan makanan kepada mereka yang memerlukan dan pelarian tidak boleh lagi berbuat demikian di bawah PKP.
Sebaliknya kumpulan terbabit perlu membawa bantuan mereka kepada pusat kebajikan kerajaan yang akan mengagihkannya dengan bantuan pegawai kebajikan.
Bagaimanapun menurut aktivis dan kumpulan masyarakat sivil, ramai golongan memerlukan ini akan terlepas kerana data kebajikan kerajaan tidak meliputi kumpulan yang dibantu oleh mereka.
“Kami cuba merayu agar seorang wakil daripada badan bukan kerajaan dibenarkan untuk agihkan makanan,” kata Fernandez.
Tenaganita juga merangka cadangan prosedur operasi standard dan berharap ia dipertimbangkan pihak berkuasa.
Setakat 31 Ogos tahun lalu, Malaysia mempunyai 1.99 juta pekerja asing, yang mana kebanyakan mereka bekerja di sektor pembuatan, diikuti pembinaan, perladangan dan pertanian.– 1 April, 2020.
Komen