KERAJAAN tidak menghalang pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mengedar bantuan sebaliknya mahu melaraskan pergerakan sukarelawan itu di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Rina Harun.
Katanya kerajaan sangat mengalu-alukan usaha kumpulan NGO dan mahu menjadi rakan strategik kementerian ketika tempoh mememerangi wabak Covid-19 ini.
“Arahan itu sebab kita perlu buat penyelarasan pergerakan kerana bila masuk PKP fasa kedua ini pihak berkuasa lagi ketatkan pergerakan.
“Jadi kita tak halang, kerajaan tak pernah halang cuma kita nak selaraskan,” katanya dalam program Bicara Naratif yang disiarkan di RTM.
Beliau berkata demikian apabila ditanya mengenai isu bantuan NGO .
Beliau berkata keputusan kerajaan itu juga kerana mahu membuat jangkaan berapa kekuatan pasukan sukarelawan yang menggerakkan bantuan ketika ini.
Tambahnya, kerajaan terbuka untuk berkerjasama dengan NGO namun menetapkan panduan bagi pertubuhan tersebut jika mahu meneruskan bantuan.
Namun beliau tidak mendedahkan mengenai panduan tersebut dalam temu bual berkenaan.
Minggu lepas Menteri Menteri Kanan (Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob mengumumkan arahan itu bagi mengelak mereka terdedah kepada jangkitan Covid-19.
Ismail berkata ia adalah saranan daripada Kementerian Kesihatan (KKM) bagi memastikan aspek keselamatan dan kesihatan wakil NGO itu sentiasa diutamakan ketika penularan wabak sedang berlaku.
Bagaimanapun arahan itu mendapat kritikan beberapa kumpulan NGO. – 31 Mac, 2020.
Komen