Doktor maut nahas dalam perjalanan bertugas ke Gua Musang, kata kementerian


Noel Achariam

Ahad lalu, seorang doktor dan bayinya maut manakala tujuh lagi cedera apabila van dinaiki kemalangan di Km11 Jalan Gua Musang-Kuala Krai dekat Kampung Renok Baru. – Gambar fail The Malaysian Insight, 31 Mac, 2020.

DOKTOR dan bayi lelakinya berusia 9 bulan yang terbunuh dalam kemalangan di Gua Musang dalam perjalanan ke kawasan itu kerana beliau ditugaskan di sana, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata disebabkan perintah kawalan pergerakan (PKP), doktor berkenaan memutuskan untuk membawa keluarganya bersama.

“Beliau ditugaskan di Gua Musang. Malangnya, berlaku kemalangan kenderaan dan kami berasa sedih bagi pihaknya dan keluarga,” katanya pada sidang akhbar hariannya di Putrajaya hari ini.

Laporan mengenai bayi berada dalam van kementerian yang terlibat dalam kemalangan itu menimbulkan persoalan mengenai mengapa sumber kementerian digunakan untuk membawa orang biasa dan bukannya kes kecemasan.

Dalam kejadian pada Ahad, tujuh lagi cedera apabila van itu terbabas di Km11 Jalan Gua Musang-Kuala Krai dekat Kampung Renok Baru.

Ketua Penguasa Polis Gua Musang, Mohd Taufik Maidin mengenal pasti mereka yang meninggal dunia dalam kemalangan 9.50 pagi sebagai Dr Nooranisah Mohd Razali, 31, dan anaknya, Mohammad Fitri Yusof Muhammad Hafiz Zulilmi.

“Doktor itu meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan badan manakala anaknya meninggal dunia di Hospital Gua Musang pada pukul 11.02 pagi,” katanya sambil menambah enam yang lain adalah pekerja kesihatan manakala pemandu dan van dari Hospital Kuala Krai.

Beliau berkata mereka yang cedera berada dalam keadaan stabil di Hospital Gua Musang.

Kakitangan perubatan dari Hospital Sultan Ismail Petra di Kuala Krai itu menuju ke Hospital Gua Musang atas tugas rasmi, katanya.

Taufik berkata mangsa yang meninggal dunia dibawa ke Hospital Gua Musang dan jenazah diserahkan kepada keluarga. – 31 Mac, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen