KEMENTERIAN Kesihatan akan membantu pihak berkuasa tempatan mencuci dan membersihkan dengan cara yang betul kawasan yang dianggap tercemar dengan virus Covid-19, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.
Beliau membuat kenyataan itu ketika pelbagai pihak mengkritik tindakan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin mengetuai operasi kementeriannya (KPKT) “membasmi kuman” di jalan raya dan bendul jalan, semalam.
“Kita ucapkan terima kasih kepada DBKL (Dewan Bandaraya Kuala Lumpur), KPKT dan majlis daerah kerana membantu kementerian menyahcemar kawasan dan kuman di tempat umum.
“Tetapi mungkin kita akan lihat bagaimana kita boleh ikut SOP Kementerian Kesihatan, apa yang patut buat, apa yang tak patut buat,” katanya dalam sidang media harian di Putrajaya, hari ini.
Dr Noor Hisham berkata pihak berkuasa tempatan berkenaan melakukan kerja-kerja itu sebelum Kementerian Kesihatan memberikan garis paduannya.
Ini termasuk soal bahan kimia yang boleh digunakan, yang sudah dipersetujui oleh pihak Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
“Ini isu pelaksanaan. KKM akan memberi mereka panduan cara yang betul untuk melakukannya,” tambahnya.
Semalam, beberapa pakar kesihatan berkata tindakan Zuraida dan KPKT menyembur cecair nyahkuman di jalan raya adalah satu pembaziran sumber dan masa kerana bukan melibatkan kawasan yang terkena sentuhan orang ramai.
“Membazir duit. Macam mana jalan dan bendul jalan tercemar? Orang batuk beramai-ramai ke atas jalan?
“Kalau tercemar pun, macam mana boleh kena muka? Orang gosok tangan atas jalan dan lepas itu pegang muka?” kata bekas ketua pengarah kesihatan Dr Lokman Hakim Sulaiman, semalam.
Seorang lagi pakar Dr Musa Nordin menulis di Twitter menyifatkan pembersihan yang dilakukan oleh pihak Zuraida sebagai “kerja bodoh” dan menteri itu tidak perlu “memperbodohkan diri sendiri”.
Semalam, Zuraida mengetuai operasi sanitasi awam di sekitar Pasar Besar Jalan Othman di Petaling Jaya, yang dilaporkan disertai Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Polis DiRaja Malaysia, Alam Flora, Jabatan Sukarela Malaysia (Rela), dan KKM.
Operasi itu dijalankan di 47 lokasi di enam negeri yang dikelaskan sebagai zon merah dan jingga penularan Covid-19.
Selain Petaling Jaya, Zuraida juga menyertai operasi sama di sekitar Masjid Al-Falah, Kampung Sungai Ramal Dalam di Kajang. – 31 Mac, 2020.
Komen