SPRM siasat duit di rumah Syed Saddiq


Kalidevi Mogan Kumarappa

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia menerima aduan berhubung mengenai wang tersebut yang dilaporkan sebagai "pemilikan yang meragukan".– Gambar fail The Malaysian Insight, 31 Mac, 2020.

AGENSI anti rasuah membuka kertas siasatan terhadap Syed Saddiq Syed Abdul Rahman selepas bekas menteri itu semalam membuat laporan kehilangan wang tunai RM250,000 yang disimpan di rumahnya.

Siasatan dibuka selepas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menerima aduan berhubung mengenai wang tersebut yang dilaporkan sebagai “pemilikan yang meragukan”.

“Suruhanjaya telah menerima aduan berhubung pemilikan sejumlah besar wang tunai yang meragukan dipercayai milik seorang bekas menteri seperti dilaporkan oleh media semalam.

“Berdasarkan aduan itu, Suruhanjaya ini telah membuka satu kertas siasatan bagi menjalankan siasatan terhadap aduan tersebut di bawah Akta SPRM 2009,” kata agensi itu dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, Ahli Parlimen Muar mengesahkan ada kecurian di rumahnya dan polis sudah membuat siasatan di tempat kejadian sejak Ahad malam.

Beliau yang juga ketua sayap Pemuda Bersatu bagaimanapun menjelaskan wang yang hilang itu bukan duit parti.

“Saya telah membuat laporan polis terhadap kes kecurian yang berlaku di rumah saya. Pihak polis dan forensik sudah datang dan membuat siasatan di rumah sejak malam tadi (Ahad).

“Buat masa ini, saya tidak dapat mengesahkan sebarang butiran atau spekulasi sehingga siasatan selesai.

“Laporan media bahawa RM250,000 itu merupakan wang Bersatu adalah tidak benar dan anggaran kecurian belum dapat disahkan,” katanya semalam.

Enam disiasat

Dalam pada itu, Ketua Polis Petaling Jaya Nik Ezanee Mohd Faisal memberitahu The Malaysian Insight enam individu diarahkan untuk hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya tengah hari ini untuk diambil keterangan mereka.

“Mereka adalah enam individu rapat dengan beliau,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan iaitu mencuri.

Semalam, bekas menteri belia dan sukan itu berkata beliau kali terakhir membuka peti besi berkenaan pada 13 atau 14 Mac lalu.

“Tiada sebarang kesan umpil dan keadaan rumah dan bilik kemas.

“Peti besi milik saya telah saya tetapkan kod rahsia dan hanya orang tertentu sahaja yang tahu di mana saya simpan,” katanya.

Pihak polis turut menahan seorang wanita warga Indonesia yang juga pembantu di rumah itu untuk siasatan lanjut. – 31 Mac, 2020.


 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen