PENDUDUK Sungai Lui di Hulu Langat terkejut apabila Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dikuatkuasa tiba-tiba dan masih kabur dengan arahan mendapatkan bekalan dan pemeriksaan.
Penduduk memberitahu The Malaysian Insight, mereka tidak mendapat maklumat jelas mengenai agihan makanan sewaktu tempoh itu dan sama ada semua penduduk perlu jalani saringan Covid-19.
Salah seorang penduduk yang mahu dikenali dengan nama Siti berkata, keadaan itu berlaku kerana tidak dapat menentukan maklumat sahih.
“Sebab PKPD secara tiba- tiba. Kita takut perlu ke semua orang kena buat ujian. Kita cuma tahu PKPD, yang selepas itu kita tak tahu.
“Dalam Whatsapp pun kita tak tahu dari siapa, mana yang sahih,” kata Siti, 26, penduduk Kg Sungai Lui Batu 22.
Pengurus restoran itu berkata beliau hanya menerima maklumat daripada kumpulan Whatsapp komuniti kampung dan melalui televisyen saja.
“Ada juga diumumkan melalui speaker yang minta penduduk jangan keluar. Tetapi tentang agihan bekalan makanan kita belum menerima apa-apa maklumat lagi,” katanya.
Bagaimanapun katanya, nasib baik beliau sempat membuat persediaan terlebih dulu dengan membeli stok makanan yang mencukupi untuk keluarganya seramai empat orang sepanjang tempoh PKPD.
Kawasan itu diletakkan bawah perintah PKPD sejak Ahad apabila 71 kes positif Covid-19 tertumpu di kalangan penghuni Maahad Tahfiz Annabawiyyah di Batu 23, berhampiran rumah Siti.
Nurul Asyikin Yodin, antara 3,918 penduduk melibatkan 700 keluarga yang terjejas akibat kawalan ketat itu, turut tertanya-tanya adakah mereka perlu menjalani saringan.
Juruukur bahan berusia 32 tahun itu berkata, pelbagai maklumat berbeza diterima mengenai saringan untuk mengesan penyakit Covid-19.
“Yang saya dengar ujian Covid katanya KKM akan buat saringan ke rumah, tapi itu pun tak tahu sah atau tidak sebab dapat maklumat dari penduduk lain,” katanya yang berkerja di Kuala Lumpur.
Katanya, penduduk hanya menerima maklumat jelas bahawa proses disenfeksi akan dijalankan di Kawasan Kg Batu 23 kerana berdekatan dengan Maahad Tahfiz AnNabawiyyah.
Penduduk kampung tidak salahkan tahfiz
Nurul berkata mereka sudah tahu terdapat seorang ustaz tahfiz yang positif Covid-19 di sekolah itu, malah sebelum PKP berkuatkuasa pada 18 Mac.

Tetapi katanya ia tidak menimbulkan keresahan kepada penduduk kerana pusah tahfiz itu telah menjalani proses kuarantin.
“Sebenarnya penduduk kampung tak panik sangat bila ustaz dan pelajar positif Covid-19 sebab kami tahu mereka dah kuarantin, sehingga sampai terputus bekalan makanan mereka,” katanya.
Katanya, disebabkan itu penduduk kampung menggerakkan usaha membantu menyalur bantuan makanan kepada pelajar tahfiz pada 20 Mac lalu.
“Bantuan makanan itu polis datang ambil dan agihkan sebab penduduk kampung memang tidak boleh masuk tahfiz. Penduduk kampung tidak salahkan tahfiz,” katanya.
Nurul berkata beliau sempat membuat persiapan membeli stok makanan untuk lima ahli keluarganya termasuk ibu mertua dan adik iparnya.
Secara keseluruhan, tujuh kampung diletakkan bawah PKPD di kawasan itu, melibatkan dua kampung Orang Asli dan lima perkampungan Melayu dari Batu 21 hingga ke Batu 24.
Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob mengumumkan makanan asas untuk tempoh 14 hari akan dibekalkan kepada semua penduduk oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Ini memandangkan semua penduduk tidak dibenarkan keluar rumah sama sekali sepanjang tempoh itu.
Bagaimanapun, Ketua Kg Batu 21 Mohd Razak Jamaluddin berkata jadual agihan makanan itu masih belum diputuskan oleh JKM.
“Katanya akan ada mesyuarat (pada Isnin) jadi mungkin akan putuskan nantilah, lagipun PKPD baru dikuatkuasakan.
“Tapi saya rasa untuk agihan makanan mungkin akan dibuat tiga atau empat kali sehari sebab ia melibatkan makanan asas seperti beras gula, tepung dan sebagainya,” katanya.
Beliau berkata keadaan kampung terkawal sejak dari tempoh kerajaan menguatkuasa PKPD.
“Penduduk tidak panik sebab kita dah beritahu awal dan sebelum nak tempoh kuatkuasa itu pun kita tengok kawasan kampung tidak terlalu sibuk masih tenang lagi,” katanya.
Perintah PKPD pertama dikuatkuasa di Simpang Renggam pada Jumaat melibatkan 3,570 orang penduduk dari 650 keluarga susulan tumpuan 81 kes positif Covid-19 di situ.
Kebanyakan jangkitan didapati berpunca daripada pertemuan semasa kenduri kahwin.
Perintah PKPD ketiga dikuatkuasa di satu bangunan kondominium dan komersial Menara City One di pusat bandar Kuala Lumpur.
Ia berikutan penemuan 17 kes positif Covid-19 di bangunan tersebut yang menempatkan 3,200 penghuni. – 31 Mac, 2020.
Komen