Pihak ketiga siasat kehilangan data CIMB, kata BNM 


Bede Hong

Gabenor Bank Negara Malaysia Muhammad Ibrahim berkata institusi perbankan itu perlu melantik pihak ketiga untuk menyiasat kehilangan pita data berkenaan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 17 November, 2017.

BANK Negara Malaysia meminta CIMB Group Holdings melantik pihak ketiga untuk menyiasat kehilangan pita data magnetik yang mengandungi maklumat pelanggan. 

“Kami telah maklumkan kepada institusi tertentu yang mereka perlu melantik sebuah syarikat bebas untuk melihat kepada akar umbi isu berkenaan. Bukan itu sahaja, ia juga akan melihat kepada proses dan melihat sama ada terdapat pelanggaran keperluan pengawalseliaan,” kata gabenor bank pusat itu Muhammad Ibrahim kepada pemberita hari ini. 

Muhammad berkata demikian ketika ditanya mengenai langkah-langkah yang diambil untuk menangani kehilangan data dan sama ada pelanggaran maklumat tersebut berlaku di bank lain juga.

CIMB minggu lalu mendedahkan data magnetik hilang ketika menjalankan operasi rutin minggu lalu. Bank berkenaan berkata ia telah meningkatkan langkah keselamatan berikutan kehilangan data berkenaan termasuk menggantung semua khidmat pusat panggilan.

BNM pada hari yang sama turut mengeluarkan kenyataan sebagai makluman bahawa pihaknya sedia maklum berhubung perkara itu dan diberi jaminan oleh CIMB untuk mengambil langkah berjaga-jaga dan tindakan pengurangan untuk menguruskan impak negatif kesan daripada kehilangan pita itu. 

Ketua Polis Negara Mohamad Fuzi Harun yang dipetik laporan Bernama sebagai berkata, siasatan awal mendapati kehilangan pita berkenaan adalah berkemungkinan kerana kecuaian oleh kakitangan bank terbabit. Beliau turut menolak kemungkinan sabotaj. – 17 November, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen