KEMENTERIAN Wilayah Persekutuan masih belum memutuskan sama ada mahu meneruskan atau membatalkan penganjuran bazar Ramadan tahun ini, kata Annuar Musa.
Menteri Wilayah Persekutuan itu berkata sekiranya penganjuran bazar dibenarkan garis panduan baharu akan dikeluarkan.
“Jika kita mahu buat, kita perlukan prosedur operasi standard baharu. Kita tak boleh buat macam dulu,” katanya pada sidang media yang disiarkan secara langsung di akaun Facebook kementerian, hari ini.
Setakat ini, Terengganu sudah mengeluarkan arahan pembatalan bazar Ramadan dan Menteri Besar Kelantan Ahmad Yakob sudah membayangkan tiada bazar tahun ini di negeri itu.
Pada 26 Mac lepas, Menteri Besar Negeri Sembilan Aminuddin Harun memutuskan pembatalan penganjuran bazar Ramadan di negeri itu memandangkan krisis kesihatan wabak Covid-19 yang masih melanda negara.
Annuar menjelaskan pihak kementerian akan mengkaji pelbagai aspek sekiranya penganjuran bazar mahu diteruskan.
“Kita baru lepas dua minggu perintah kawalan pergerakan dan kita nampak trend dan jumlah (kes jangkitan Covid-19) terus naik.
“Kita masih ada dua minggu. Kita juga perlu fikir selepas 14 April.
“Kita tak boleh terus keluar dan buat semua benda. Kita masih perlu berhati-hati.”
Kementerian Kesihatan sebelum ini mengesan tiga zon merah di ibu kota yang mempunyai jumlah kes tertinggi iaitu Kepong (73), Lembah Pantai (226) dan Titiwangsa (64).
Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengumumkan pelaksanaan PKP bermula 18 Mac sehingga 18 April untuk mengekang penularan Covid-19. – 30 Mac, 2020.
Komen