KERAJAAN negeri Sabah memperuntukkan RM92.7 juta di bawah bajet negeri 2018 untuk menambah baik sistem saliran dan pengairan berikutan banjir yang sering berlaku di negeri itu.
Ketua menterinya Musa Aman berkata beberapa projek sudah dikenal pasti untuk menyelesaikan masalah itu tahun depan.
Ia termasuk tebatan banjir untuk Sungai Tawau dan pekan Telipok, tebatan banjir dan pengairan di Kota Kinabalu, membabitkan Bandar Sierra, Sungai Tebobon di Telipok dan Sungai Rampayan di Kota Belud.
“Kerajaan negeri juga akan menambah baik sistem saliran di Beaufort, Taman Jumbo di Petagas dan Putatan, dan mengkaji pelan pengairan utama untuk Beluran, Telupid dan Semporna,” kata Musa.
Sementara itu, RM110.5 juta akan diperuntukkan kepada pihak berkuasa tempatan dan Majlis Perbandaran Kota Kinabalu untuk melaksanakan projek, seperti pembinaan majlis daerah Kundasang, gerai sayuran Kundasang, pasar awam baru Semporna, terminal bas Sandakan dan pemasangan lampu di sepanjang jalan di Menumbok dan Tuaran, dan projek lanskap lain di seluruh negeri itu, katanya.
Untuk pertanian, Musa turut mengumumkan peruntukan RM509.7 juta dan RM49.5 juta untuk pembangunan dalam subsektor perikanan.
“Sektor pertanian merupakan penyumbang ketiga terbesar keluaran dalam negeri, iaitu 19.1% atau RM14.1 bilion, selepas sektor perlombongan (RM21.8 bilion) dan perkhidmatan RM30.1 bilion,” katanya.
Musa berkata, Sabah juga akan menumpukan kepada penanaman nanas MD2, kelapa Matag, pisang Sabah dan durian musang king berikutan potensi eksportnya.
Musa berkata tambahan RM4.9 juta akan dibelanjakan untuk mempertingkatkan pengeluaran tanaman padi tempatan selain RM14.5 juta untuk menyelenggara dan menambah baik sistem pengairan sedia ada membabitkan 16,000 hektar di Kota Belud, Kota Marudu, Trusan Sapi, Sandakan, Tambunan dan Keningau.
“RM17 juta lagi akan diperuntukkan bagi membekalkan subsidi penanaman padi kepada petani di seluruh negeri bagi memastikan mereka mampu meneruskan aktiviti penanaman mereka.”
Katanya, tambahan RM20 juta juga diperuntukkan bagi memastikan harga getah di negeri itu kekal stabil.
Bagi perindustrian dan perkilangan, kerajaan negeri mencadangkan RM134 juta untuk mempergiatkan promosi dan perlaburan dagangan ke Sabah.
Menurutnya, RM46.3 juta akan disalurkan kepada Taman Industri Minyak dan Gas Sipitang (Sogip), RM32.2 juta kepada kluster industri minyak sawit di Lahad Datu, RM10 juta kepada perindustrian di Kota Kinabalu dan RM8.7 juta kepada Sabah Economic Development Corporation. – 17 November, 2017.
Komen