Bonus RM1,500 kepada penjawat awam Sabah


Jason Santos

KERAJAAN Sabah mengumumkan bantuan khas RM1,500 kepada semua penjawat awam negeri dalam Bajet 2018 negeri itu.

Ketika mengumumkannya Ketua Menteri Musa Aman berkata, pembayarannya akan dibuat dalam dua peringkat, RM1,000 pada Januari tahun depan dan bakinya sebelum Hari Raya Aidilfitri tahun depan.

“Ini adalah untuk penjawat awam negeri dan ia adalah sebagai penghargaan kepada sumbangan mereka sebagai jentera utama dan pentadbiran perkhidmatan awam,” katanya ketika membentangkan Bajet 2018 Sabah di Dewan Undangan Negeri hari ini.

Pengumuman itu dibuat selepas kerajaan persekutuan turut mengumumkan pembayaran khas RM1,500 secara one-off pada pembentangan Bajet 2018.

Sementara itu, Musa juga mengambil maklum potensi sektor pelancongan, dan mengumumkan peruntukan RM228 juta kepada pelbagai program pelancongan tahun depan.

“Salah satu usaha untuk memperkukuhkan pelancongan di negeri Sabah adalah dengan membangunkan projek Pembangunan Pelancongan Luar Bandar di Kiulu dan Kadamaian di Kota Belud.

“Kerajaan cuba untuk mengetengahkan produk baharu yang dikenali sebagai “lung cleaning tourism”, yang membabitkan aktiviti seperti trekking dan mendaki,” katanya.

Musa turut mengumumkan usaha untuk menggazetkan bangunan berusia lebih 50 tahun sebagai tapak warisan budaya.

“Ia adalah Dewan Turnball di Kolej Sabah yang dibina pada tahun 1959 dan dinamakan sempena gabenor Borneo Utara kedua British Sir Roland Evelyn Turnball, Kolej Perguruan Kent yang dibina pada 1952 yang merupakan institusi perguruan tertua di Sabah, Wisma Radio Sabah yang dibina pada Februari 1962 dan sebelum ini dikenali sebagai bangunan sekretariat Suruhanjaya Cobbold, tujuh bulan selepas pembentukan Malaysia pada 16 September dan yang terakhir, Wisma Kewangan, yang merupakan bekas bangunan Sekretariat British dibina pada 1955.

“Wisma Kewangan juga merupakan lokasi di mana sidang dewan undangan negeri dan mesyuarat Kabinet kali pertama diadakan,” kata Musa. – 17 November, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen