Bilangan kematian Covid-19 cecah 35 orang


Ragananthini Vethasalam

SEORANG wanita berusia 57 tahun meninggal dunia akibat Covid-19 menjadikan bilangan kematian di Malaysia meningkat kepada 35 orang, kata Dr Noor Hisham Abdullah.

Ketua Pengarah Kesihatan itu berkata si mati yang mempunyai sejarah perjalanan ke Indonesia direkodkan meninggal dunia pada 4 petang hari ini.

“Beliau telah mula bergejala 5 hari sebelum dimasukkan ke Hospital Putrajaya pada 17 Mac 2020 dan kemudiannya ke Hospital Kuala Lumpur dan Hospital Sungai Buloh.” katanya sambil menambah bahawa si mati disahkan positif Covid-19 pada 18 Mac.

Dr Noor Hisham berkata kesihatan pesakit merosot hari demi hari, dan disahkan meninggal dunia pada 29 Mac 2020 jam 4.00 petang.

Awal petang tadi, Dr Noor Hisham berkata tujuh orang meninggal dunia akibat virus itu.

Beliau berkata dengan 150 kes jangkitan baru dilaporkan pada pukul 12 malam hari ini, jumlah kes kini meningkat kepada 2,470.

Seramai 68 kes telah pulih dan mereka dibenarkan pulang. Ini menjadikan jumlah kes yang pulih kepada 388 kes.

Di seluruh dunia jumlah jangkitan Covid-19 kini mencapai 664,974 manakala jumlah kematian telah mencapai 30,000.– 29 Mac, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen