Institut Latihan Statistik di Perak ditukar sebagai pusat kuarantin


Ragananthini Vethasalam

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata mereka yang dikuarantin akan ditempatkan di bilik individu yang dilengkapi dengan tandas peribadi dan keperluan lain seperti wifi, cerek, peralatan mandi, sanitizer tangan dan termometer. – Gambar fail The Malaysian Insight, 29 Mac, 2020.

INSTITUT Latihan Statistik Malaysia (ILSM) di Sungkai, Perak diubah menjadi pusat kuarantin bagi menempatkan mereka yang yang mempunyai kontak rapat dengan pesakit Covid-19, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

“Tujuan stesen kuarantin adalah untuk mengasingkan individu berisiko dijangkiti atau menjangkiti individu lain bagi tujuan kawalan penularan Covid-19,” kata Noor Hisham dalam sebuah hantaran Facebook.

Beliau berkata mereka yang dikuarantin akan ditempatkan di bilik individu yang dilengkapi dengan tandas peribadi dan keperluan lain seperti wifi, cerek, peralatan mandi, pembasmi kuman dan termometer.

Mereka juga akan disediakan hidangan makanan empat kali sehari bersama makanan ringan.

Pasukan perubatan yang bertanggungjawab juga akan memantau kesihatan individu yang dikuarantin setiap hari selagi mereka diperikdan dan diselia di pusat itu.

” Sebarang gejala awal Covid-19 atau masalah kesihatan yang lain akan dapat dikesan awal dan ditangani dengan segera,” katanya.

Dr Noor Hisham menambah bahawa fasiliti itu juga memenuhi kriteria untuk kawalan penyakit berjangkit.

Beliau turut menggambarkannya sebagai ruang yang selesa dan tertutup yang dikelilingi kawasan hijau.

Malaysia telah menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan sejak 18 Mac untuk mengekang penyebaran Covid-19. Ia sepatutnya berakhir pada 31 Mac, namun kemudian dilanjutkan selama dua minggu lagi hingga 14 April berikutan peningkatan jangkitan Covid-19.

Sehingga kini, Malaysia telah mencatatkan 2,470 jangkitan dengan 34 kematian. – 30 Mac, 2020.


 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen