Perikatan kembalikan dana kawasan pembangkang


Chan Kok Leong

Kerajaan PH sebelum ini memperuntukkan RM1.5 juta kepada kerusi kawasan dikuasai kerajaan untuk tahun 2020 tetapi ditarik balik oleh PN selepas mengambil alih tampuk pemeritahan negara. – Gambar fail The Malaysian Insight, 28 Mac, 2020.

PERIKATAN Nasional (PN) sudah memberikan semula peruntukan RM100,000 kepada semua kawasan Parlimen pembangkang, kata beberapa ahli Parlimen.

“Ya, kami diberitahu dana kawasan RM100,000 ini adalah untuk tempoh setahun,” kata Ahli Parlimen Segambut Hannah Yeoh kepada The Malaysian Insight.

Seorang lagi ahli Parlimen dari Johor mengesahkan menerima makluman dari pejabat daerah pada Jumaat mengatakan kerajaan persekutuan sudah meluluskan peruntukan khas sebanyak RM100,000 untuk kawasan itu.

“Perdana Menteri Muhyiddin Yassin telah meluluskan peruntukan RM100,000 bagi setiap kawasan pilihan raya yang tidak dikuasai kerajaan.

“Permohonan peruntukan ini akan melalui sistem e-Khas dan tertakluk kepada garis panduan yang ada,” kata sebuah mesej makluman yang ditunjukkan kepada The Malaysian Insight.

Pada Jumaat, bekas menteri belia dan sukan Syed Saddiq Abdul Rahman mengucapkan terima kasih kepada Muhyiddin di Twitter selepas mendapat makluman peruntukan tersebut.

“TQ Tan Sri Muhyiddin kerana memberikan Peruntukan Khas Bencana Covid-19 bagi Parlimen Muar. Terima kasih kerana mendengar rayuan saya. Saya akan pastikan setiap sen yang diperuntukkan dimanfaatkan bagi warga Muo. Kebajikan orang Muo adalah tanggungjawab saya,” katanya

Dua lagi ahli Parlimen lain juga mengakui mereka turut dimaklumkan tentang peruntukan itu namun tidak pasti jika ini merupakan peruntukan khas Covid-19 atau peruntukan tahunan.

Kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini memperuntukkan RM1.5 juta kepada kerusi kawasan yang dikuasai kerajaan untuk tahun 2020.

Kurang daripada sebulan mengambil alih pemerintahan, PN memutuskan untuk menarik balik dana untuk semua ahli Parlimen pembangkang.

Ini termasuk peruntukan bagi Syed Saddiq dan pengerusi Bersatu yang juga merupakan bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad di Langkawi.

Walaupun Syed Saddiq dan Dr Mahathir adalah daripada parti pemerintah, kedua-dua mereka tidak menyokong Muhyiddin sebagai perdana menteri ketika krisis politik bulan lalu.

Kerajaan PH tumbang pada Februari selepas Muhyiddin membawa keluar Bersatu daripada gabungan politik itu. Dengan sokongan Barisan Nasional, PAS dan Gabungan Parti Sarawak (GPS), Muhyiddin akhirnya mendapat sokongan yang cukup untuk menjadi perdana menteri kelapan.

Sejak mengambil alih pada 1 Mac, pentadbirannya menamatkan perkhidmatan aktivis yang dilantik PH daripada menganggotai agensi kerajaan dan Majlis Komuniti Penduduk Wilayah Persekutuan (MPP). – 29 Mac, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen