116 ditahan langgar PKP solat Jumaat di masjid, kata menteri


Alfian Z.M. Tahir

Menteri di Jabatan Perdana Menteri sudahpun menjelaskan tidak ada solat Jumaat dan solat jemaah sepanjang tempoh PKP. – Gambar fail The Malaysian Insight, 28 Mac, 2020.

SERAMAI 116 jemaah ditahan kerana menunaikan sembahyang Jumaat secara berjemaah di sebuah masjid semalam, kata kata Menteri Kanan Ismail Sabri Yaakob.

Selain itu terdapat lima masjid dikesan masih mengadakan solat jemaah sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan berkuatkuasa, katanya.

“Menteri di Jabatan Perdana Menteri sudahpun jelaskan tidak ada solat Jumaat dan solat jemaah, tetapi lima masjid masjid masih mengadakan solat jemaah dan sebuah masjid adakan sembahyang Jumaat.

“Polis bertindak dan menahan 116 daripadnya yang menghadiri sembahyang Jumaat,” kata Ismail yang enggan mendedahkan nama masjid tersebut.

Katanya ia merupakan antara pelanggaran PKP yang dikesan selepas penguatkuasaan itu diperketat dua hari lalu, yang menyaksikan 402 orang ditahan.

Seramai 320 ditahan pada Jumaat, termasuk kes sembahyang berjemaah dan 162 pada Khamis yang memberi jumlah 614 penahanan sejak 18 Mac.

Katanya, pematuhan PKP juga tidak bertambah baik kerana masih banyak kenderaan dilihat berada di jalan raya, sehingga menyebabkan kesesakan berlaku di beberapa tempat di Selangor, katanya.

Kelmarin, Ismail mengumumkan perintah kawalan lebih ketat di dua kawasan di Simpang Renggam yang mencatat peningkatan kes mendadak.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah semalam mengumumkan dua kampung mencartat 74 kes daripada 88 kes di seluruh Kluang.

Malaysia setakat ini merekod 2,161 kes dengan 26 kematian kes Covid-19. – 28 Mac, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen