Kerajaan berusaha dapatkan semula wang 1MDB, kata menteri


Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz berkata agensi kerajaan yang berkaitan dan Jabatan Peguam Negara sedang berusaha mendapatkan semula wang 1MDB. – Gambar fail The Malaysian Insight, 28 Mac, 2020.

KERAJAAN akan berusaha untuk mendapatkan wang yang didakwa dicuri daripada 1Malaysia Development Bhd (1MDB), kata Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz semalam.

Beliau berkata agensi kerajaan yang berkaitan dan Jabatan Peguam Negara sedang mengusahakannya.

“Agensi kerajaan, Jabatan Peguam Negara sedang meneliti perkara ini. Ia sepatutnya dalam jadual untuk mendapat wang tersebut. Kami sedang mengusahakannya,” katanya kepada Bernama ketika ditanya mengenai kemungkinan kelewatan dalam membawa balik wang tersebut.

Dilaporkan Jabatan Keadilan (DOJ) Amerika Syarikat (AS) menangguhkan pemulangan AS$240 juta (RM1 bilion) daripada wang 1MDB, menyatakan ketidaktentuan politik apabila Dr Mahathir Mohamad meletak jawatan sebagai perdana menteri ketujuh pada 24 Februari lepas.

Pada 1 Mac, 2020, Muhyiddin Yassin mengangkat sumpah jawatan sebagai perdana menteri kelapan.

DOJ memulangkan hampir AS$200 juta kepada Malaysia pada Mei 2019. – Bernama, 28 Mac, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen