PELAKSANAAN perintah kawalan pergerakan (PKP), yang masuk hari ke-11, menyebabkan ada kucing tersangkut di hotel haiwan peliharaan, tidak diambil sampai ke hari ini kerana tuan mereka juga terperangkap dengan sekatan perjalanan.
Pemilik hotel yang dihubungi The Malaysian Insight memberitahu sesetengah kucing itu ditinggalkan untuk dijaga beberapa hari sebelum pengumuman PKP lagi, sesetengahnya sejak cuti sekolah bermula pada 13 Mac lalu.
“Kucing yang tinggal dengan kami sekarang yang dihantar awal-awal dulu semasa musim cuti sekolah, jadi disebabkan sekatan perjalanan tuannya tak dapat datang nak untuk ambil kucing mereka.
“Tapi yang selebihnya semua pemilik dah ambil, sehari sebelum pelaksanaan PKP,” kata pemilik sebuah hotel kucing di Shah Alam, yang enggan dinamakan.
Beliau sekarang menjaga tujuh ekor kucing yang ditinggalkan dengannya biarpun perintah larangan yang berkuat kuasa juga melarang perniagaan sepertinya beroperasi.
Pemilik hotel kucing itu berkata sejak perintah kawalan dilaksanakan beliau datang juga setiap hari ke kedainya untuk memastikan kucing yang ada diberikan makanan dan “bilik hotel” mereka dibersihkan.
“Kami juga tidak putus hubungan dengan pemilik. Biasanya kami akan update keadaan kucing kepada pemilik seperti hantar gambar, video kepada mereka,” katanya.
Namun beliau bimbang kalau tempat PKP yang sudah dilanjutkan sehingga 14 April akan memberi kesan kepada haiwan peliharaan di bawah jagaannya.
“Dalam kes saya kebanyakan kucing memang dah biasa dihantar dekat saya jadi tidak ada isu sangat.
“Tapi jika lama sangat tempoh PKP takut binatang pun akan tertekan dan lama-lama akan sakit,” katanya yang baru saja memulakan perniagaan perkhidmatan hotel kucing setahun yang lalu.
PKP pada awalnya dikuatkuasakan sehingga 31 Mac untuk memutuskan rantaian jangkitan wabak Covid-19 tetapi kemudian dilanjutkan untuk dua minggu lagi.
Keadaan sama juga dihadapi pemilik Kidkatz Pet Shop, Mohammad Nazrie Abd Rahman.
Setiap hari beliau akan membuka premisnya selama dua jam untuk memberi kucing dalam jagaannya makan dua kali sehari dan membersihkan tempat tinggal mereka.
“Saya ada cuma tinggal empat ekor kucing saja sebab ramai pemilik yang dah ambil Ahad lepas.
“Yang tinggal ini saya cuma dapat berhubung dengan pemilik melalui telefon dan tanya bila mereka nak ambil.
“Jawapan yang sama diberikan hingga kuarantin tamat dan bila mereka selamat balik ke Kuala Lumpur,” katanya.
Mohammad Nazrie berkata beliau mengenakan bayaran tambahan kepada pelanggannya yang masih tidak dapat mengambil binatang peliharaan mereka.
“Tapi mungkin kami akan bagi potongan harga juga sebab sama-sama faham keadaan sekarang bagaimana,” katanya.
Pemilik kedai Safiyya Pet Shop, Muhammad Habibul Ambia pula berkata hanya tinggal seorang lagi pemilik yang masih gagal mengambil kucingnya kerana PKP.
“Pelanggan kami itu balik kampung sebelum PKP. Sekarang dia duduk saja di kampung dan mahu kami memanjangkan servis,” katanya yang membuka kedai di Klang.
Dalam pada itu, ketiga-tiga pemilik hotel kucing itu juga resah kerana pelaksanaan PKP menjejaskan perniagaan mereka.
Selepas terpaksa menutup operasi perniagaan, mereka kini bergantung pendapatan dengan menyediakan perkhidmatan hantar ke rumah makanan dan barangan haiwan haiwan peliharaan.
Namun, itu masih tidak mencukupi.
Mohammad Nazrie menganggarkan beliau rugi RM15,000 sejak PKP dikuatkuasakan.
Pemilik hotel kucing di Shah Alam yang enggan identitinya dikenali juga berkata beliau rugi hampir 80% dan sudah hampir tiada lagi modal pusingan.
“Kedai saya dah nak habis bekalan makanan kucing dan tak boleh nak beli baru sebab tak ada hasil jualan… untuk buat pusingan modal pun tak dapat,” katanya, yang kini turut menanggung kos sewa dan lain-lain.– 28 Mac, 2020.
Komen