LANGSUNG: Hari ke-10 siasatan Suhakam berhubung kehilangan pastor, 3 aktivis


Noel Achariam

Siasatan awam Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia diteruskan masuk hari ke-10 hari ini untuk mendengar mengenai kehilangan Pastor Raymond Koh dan tiga yang lain. – Gambar fail The Malaysian Insight, 17 November, 2017.

SIASATAN awam Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) terhadap kehilangan Pastor Raymond Koh dan tiga individu lain bersambung dengan pegawai agama, Zaaba Zakaria memberi keterangan.

Zaaba, daripada Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), mengetuai pasukan yang menyerbu Gereja Methodist Damansara Utama pada 2011, di mana Harapan Komuniti menganjurkan majlis makan malam Thanksgiving.

Semasa serbuan itu, pegawai Jais mengeluarkan borang kepada 12 individu Islam yang menghadiri majlis itu untuk mengisi dan seterusnya diberitahu agar menghadiri sesi kaunseling di Jais.

Zaaba memberitahu panel kesalahan yang menyebabkan Jais menyerbu DUMC mengikut Seksyen 10 (Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995, kerana menghina atau membenci Islam).

Beliau berkata dimaklumkan oleh pihak atasannya pergi dan memeriksa (berdasarkan dakwaan) terdapat orang Islam dijemput menghadiri majlis makan malam di gereja.

“Itu adalah ‘menghina’ Islam,” katanya kepada inkuri pada Selasa.

Semalam, siasatan itu mendengar keterangan daripada ASP Supari Muhammad, yang merupakan pegawai penyiasat dalam kes Koh.

Panel itu diberitahu polis tidak tahu sama ada Koh, yang hilang sejak Februari, masih hidup atau sebaliknya.

Supari memberitahu panel yang pihak polis juga tidak tahu sama ada Koh berada di dalam atau di luar negara.

Pesuruhjaya Suhakam Mah Weng Kwai yang mengetuai panel, turut terdiri daripada Aishah Bidin dan Nik Salida Suhaila Nik Saleha.

Suruhanjaya siasatan Suhakam ditubuh bagi menentukan sama ada kehilangan Koh dan tiga yang lain – Pastor Joshua Hilmy dan isterinya Ruth dan aktivis sosial Amri Che Mat – adalah kes kehilangan paksa, iaitu penculikan yang dibuat dengan kuasa atau sokongan negeri atau organisasi politik.

The Malaysian Insight melaporkan prosiding hari ini secara langsung:


4.30pm: Panel bertanya Zaaba berapa kali 12 individu beragama Islam yang hadir majlis makan malam di DUMC menjalani kaunseling di Jais. 

Zaaba berkata dia tidak pasti kerana ia bukan di bawah jabatannya. 

Panel kemudiannya bertanya sama ada 12 individu berkenaan terbabit dalam aktiviti Harapan Komuniti selepas kaunseling, Zaaba berkata dia tidak tahu.

Siasatan tamat dan akan bersambung pada 23 November.

4.20pm: Panel menyoal Zaaba sama ada terdapat taklimat dengan polis sebelum serbuan yang mana dia menjawab ya. 

Peguam keluarga Koh bertanya Zaaba bagaimana dia mendapatkan kebenaran polis untuk menyertai serbuan itu. 

Zaaba berkata, mereka ke IPD Petaling Jaya dan memaklumkan OCPD Arjunaidi mereka akan menjalankan serbuan di DUMC dan memerlukan pengiring polis. 

Peguam kemudiannya bertanya Zaaba sama ada dia menunjukkan sebarang dokumen bagi meminta bantuan polis 

Zaaba berkata mereka tidak menunjukkan sebarang dokumen. 

Peguam selepas itu bertanya sekiranya dia memaklumkan polis berhubung aduan yang dijawab ya olehnya. 

Peguam kemudian bertanya Zaaba “hanya dengan meminta” polis kemudian memutuskan untuk bantu Jais. 

Zaaba berkata, mereka tidak berjanji mereka akan datang. 

3.55pm: Peguam bertanya sama ada dia mengingati nama anggota polis yang mengetuai serbuan di DUMC, dia menyatakan tidak ingat tetapi hanya tahu pangkatnya lans koperal. 

Peguam keluarga Koh kemudian bertanya lagi sama ada mereka anggota polis beruniform dan tidak beruniform yang kemudiannya dijawab ya olehnya. 

Panel menyoal Zaaba sama ada dia meminta 20 anggota polis untuk menjalankan serbuan, beliau menjawab ya. 

Zaaba berkata, mereka meminta bantua polis pada jam 3.30 petang dan serbuan dubuat pada jam 9.45 malam. 

Zaaba berkata dia tidak tahu mereka (polis) menghantar 20 anggota.  

3.40pm: Pesuruhjaya Mah bertanyakan Zaaba adakah dia akan melindungi pengadu itu jika orang yang diadu tidak melakukan kesalahan.

Zaaba tidak menjawab soalan itu.

Panel bertanyakan Zaaba jika polis bertanyakan dia tentang apa sahaja kemungkinan wujudnya hubung kait dengan serbuan di DUMC dan penculikan Koh.

Zaaba mengatakan dia tidak ingat.

Peguam keluarga Koh tanya Zaaba jika semua 20 anggota polis yang datang ke DUMC memakai uniform, Zaaba jawab ya.

Peguam bertanya Zaaba jika mereka datang dengan kereta tanpa lambang, Zaaba kata dia tidak tahu.

3.25pm: Panel tanya Zaaba jika polis bertanya adakah mereka (Jais) menyiasat Koh, Zaaba cakap tidak.

Zaaba kata polis lebih berminat tentang serbuan di DUMC.

“Saya beritahu polis kami tak siasat Koh.”

Panel tanya Zaaba adakah dengan tidak memberitahu polis mengenai aduan diterima Jais adakah dia sebenarnya menyembunyikan maklumat.

Zaaba kata dia hanya menjawab apa yang ditanya polis.

3.10pm: Peguam keluarga Koh bertanya Zaaba jika polis mengetahui aduan yang dibuat tentang DUMC dan jika dia diminta mendedahkan perkara itu, adakah dia akan mendedahkannya.

Zaaba mengatakan dia perlu menerima arahan sama ada daripada pengarah atau timbalan pengarah untuk memberikan maklumat itu.

Peguam bertanya apa asas maklumat itu dikategorikan sebagai rahsia.

Zaaba kata dia perlu menjaga orang yang membuat aduan.

3.05pm: Peguam keluarga Koh bertanya Zaaba sama ada selepas Koh diculik dia ada disoal siasat polis. Zaaba menjawab ya.

Peguam tanya Zaaba adakah Supari adalah pegawai polis yang menyoalnya, dia kata ya.

Peguam tanya Zaaba adakah dia memberitahu Supari yang dia menerima aduan sebelum serbuan di DUMC, tetapi dibalas Zaaba yang dia tidak ingat.

Peguam tanya Zaaba jika dia bersetuju yang dia akan memberitahu polis sekiranya mereka bertanyakan tentang aduan serbuan sebelum itu.

Zaaba kata dia akan menjawab jika polis tanya.

Peguam tanya Zaaba jika dia cuba menyembunyikan maklumat daripada polis mengenai aduan yang dibuat.

Zaaba kata dia tidak memberitahu polis kerana maklumat itu rahsia.

2.50pm: Siasatan disambung dengan pegawai Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) Zaaba Zakaria memberi keterangan. – 17 November, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen