PROGRAM Subsidi Upah RM5.9 bilion yang bertujuan untuk meringankan beban majikan dan mengekalkan pekerjaan, dijangka memberi manfaat kepada kira-kira 3.3 juta pekerja.
Perdana Menteri Muhyiddin Yassin ketika mengumumkan pakej rangsangan ekonomi hari ini berkata, program berkenaan adalah untuk membantu pekerja yang berpendapatan bawah RM4,000 dan majikan yang mengalami kekurangan pendapatan sehingga 50% sejak 1 Januari, 2020.
“Kerajaan akan menyediakan RM600 kepada setiap pekerja yang terjejas selama tiga bulan.
“Majikan perlu pastikan mereka tidak memecat pekerja atau mengarahkan mereka mengambil cuti tanpa gaji selama tiga bulan selepas program ini dilaksanakan.
“Majikan tidak dibenarkan memotong gaji pekerja mereka,” katanya.
Sementara itu, bagi pemandu e-hailing mereka akan diberikan bantuan secara one-off sebanyak RM500.
“Saya tahu pendapatan harian pemandu e-hailing juga terjejas oleh perintah kawalan pergerakan. Untuk mengurangkan beban mereka, kerajaan akan memberi 120,000 pemandu e-hailing bantuan sebanyak RM500,” katanya. – 27 Mac, 2020.
Komen