LAPAN puluh lapan kes positif Covid-19 di Kluang disyaki ada kaitan dengan kluster tabligh Masjid Sri Petaling, kata Kementerian Kesihatan.
Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata kementerian mengesan empat lagi kluster kemungkinan berkait dengan perhimpunan tabligh di masjid tersebut.
“Siasatan sedang dijalankan dan kita rasa berdasarkan siasatan awal, mungkin ada 4 kluster yang berkaitan dengan jemaah tabligh, 4 kes ini hadir di perhimpunan Masjid Jamek Sri Petaling.
“Apabila mereka kembali ke kampung dan solat berjemaah di masjid dan menjangkiti jemaah lain dan kemudiannya mereka menghadiri majlis perkahwinan di kawasan berkenaan,” katanya pada sidang media di Putrajaya hari ini.
Dr Noor Hisham berkata daripada 88 kes yang dilaporkan di Kluang, 74 adalah dari Kampung Datuk Ibrahim Majid dan Bandar Baharu Datuk Ibrahim Majid di Simpang Renggam.
Semalam, Menteri Pertahanan Ismail Sabri Yaakob mengumumkan dua kampung berkenaan diletakkan di bawah perintah kawalan pergerakan lebih ketat.
Ia melibatkan 3,570 orang penduduk dari 650 buah keluarga, berkuat kuasa tengah malam tadi sehingga 9 April ini.
Dr Noor Hisham berkata Kementerian Kesihatan mensasarkan 300 sampel ujian setiap hari mulai hari ini untuk membendung wabak Covid-19.
Bagi kluster tabligh Sri Petaling, Dr Noor Hisham berkata seramai 13,762 orang telah menjalani ujian saringan.
“Kita mengambil 12,317 sampel dan daripada jumlah itu, 1,137 didapati positif dan 6,623 negatif.
“Kes yang masih disiasat adalah 4,557.”
Malam tadi, kerajaan mengenakan perintah kawalan lebih ketat di Kg Datuk Ibrahim Majid dan Bandar Baru Ibrahim Majid selepas 61 kes direkodkan.
Ia melibatkan 3,570 penduduk daripada 650 keluarga.
Kes jangkitan berpunca daripada majlis perlahwinan pada 15 Mac.
Di bawah perintah kawalan itu, penduduk tidak dibenarkan keluar daripada dua kawasan berkenaan dan orang luar juga dilarang memasuki kawasan itu. – 27 Mac, 2020.
Komen