KEDAI runcit kecil sedang menikmati ledakan perniagaan ketika pengguna yang bimbang dengan Covid-19 mengelak untuk ke pasar raya yang mempunyai pelanggan lebih ramai, kata persatuan perdagangan.
Presiden Persatuan Peniaga Barangan Runcit (FSGMAM) Hong Chee Meng memberitahu The Malaysian Insight, kedai runcit mampu menampung kenaikan perniagaan.
“Orang ramai bimbang membeli-belah di pasar raya besar kerana risiko jangkitan adalah tinggi. Kedai runcit kecil di banyak kawasan menjadi pilihan terbaik bagi orang yang ingin membeli.
“Menurut pemberitahuan ahli kami, hampir semua kedai runcit menyaksikan peningkatan dalam perniagaan mereka.
“Sejak sehari selepas pengumuman dibuat mengenai pelaksanaan tempoh kawalan pergerakan, jumlah perniagaan meningkat dua kali ganda,” katanya.
Hong berkata tiada masalah dengan bekalan, walaupun terdapat beberapa kebimbangan susu tepung bayi yang diimport dari negara luar mungkin berdepan kekurangan.
“Pembekal susu tepung tempatan berkata mereka mempunyai bekalan yang mencukupi, tetapi selepas pembelian panik susu tepung import, mungkin terdapat kekurangan bekalan selepas beberapa waktu.
“Bayi yang terbiasa dengan jenama susu tepung luar terpaksa bertukar kepada susu tepung tempatan dan pastinya tidak dapat menyesuaikan diri. Kami lebih bimbang tentang bekalan susu tepung yang diimport dari luar negara.
“Lagipun, rantaian bekalan asing juga terjejas.”
Beliau juga menggesa kerajaan merancang lebih awal, terutamanya untuk Beras Nasional untuk menyimpan stok beras putih.
“Sebanyak 30% daripada beras putih tempatan diimport dan 70% dihasilkan di dalam negara, contohnya, kerajaan Singapura menyimpan stok untuk keperluan kecemasan.”
FSGMAM mempunyai lebih 4,000 ahli terdiri daripada pelbagai kaum di seluruh negara.

Beliau berkata kedai runcit individu mempunyai stok sendiri, dan tidak akan ada masalah dengan pembekalan bagi tempoh tiga minggu akan datang, atau hingga akhir perintah PKP.
“Kami menyeru orang ramai supaya tidak membeli dan menyimpan terlalu banyak makanan di rumah. Ia juga satu pembaziran dan mereka perlu memberi perhatian tarikh luput makanan.”
Pemilik kedai runcit Low Mei Ling dari Mersing, Johor, berkata dalam satu temubual yang selepas 16 Mac, ramai memilih kedai runcit untuk membeli dalam jumlah yang banyak, dan jumlah perniagaannya meningkat dua kali ganda.
“Kami membuat pembelian tambahan daripada pembekal, dan ia akan diisi semula dalam beberapa hari, tiada masalah.”
Beliau berkata orang ramai membeli biskut, mi segera, rempah ratus, roti dan makanan dalam tin.
Perintah kawalan pergerakan berkuat kuasa pada 18 Mac dan sepatutnya untuk dua minggu sahaja.
Bagaimanapun pada Rabu, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengumumkan ia akan dilanjutkan sehingga 14 April untuk membolehkan kerajaan memerangi sepenuhnya pandemik Covid-19. – 27 Mac, 2020.
Komen