Sukarelawan sedia makanan sihat petugas barisan hadapan Covid-19


Chan Kok Leong

Sukarelawan membungkus makanan sihat sebelum dihantar ke Hospital Kuala Lumpur dan Sungai Buloh untuk dijamu kepada petugas barisan hadapan Covid-19. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir sufari, 27 Mac, 2020.

DI sebalik pintu pagar restoran Newstart Health Kitchen di Cheras, enam pekerja memakai topeng muka dan penutup rambut masih bekerja.

Sementara semua kedai lain tutup kerana perintah kawalan pergerakan (PKP), mereka pada masa ini menjadikan bahagian depan restoran sebagai kawasan menyediakan makanan dalam kotak untuk pekerja hospital.

Bekerja dari 9 pagi, mereka membungkus nasi dan sayur dalam kotak dengan tanda makanan Asia dan lasagne dibuat dengan terung dibungkus dalam kotak untuk makanan Barat.

“Kami menyiapkan makanan ini untuk dihantar ke Hospital Kuala Lumpur dan Sungai Buloh,” kata Cef Eric Lew.

Bermula Isnin, staf Savor of Life mula menghantar makanan tengah hari dan malam kepada doktor, jururawat dan pekerja penjagaan kesihatan yang lain di dua hospital utama yang menjadi pusat Covid-19.

Menggunakan platform SimplyGiving, syarikat itu mengumpul sumbangan untuk menyediakan makanan percuma kepada petugas barisan hadapan Covid-19.

Menurut pengasas Savor of Life Dr Shaun Kuan pada masa ini mereka menyediakan 400 kotak makanan sehari.

“Kami hantar kira-kira 300 untuk makan tengah hari dan 100 lagi makan malam. Ini tidak termasuk makanan yang kami bantu koordinasikan dari kedai penyedia makanan untuk dihantar ke hospital.”

Di dapur restoran Newstart Health Kitchen di Cheras, 400 bungkusan makanan sihat dihantar untuk makan tengah hari dan malam untuk petugas barisan hadapan Covid-19. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir sufari, 27 Mac, 2020.

Doktor yang kini penasihat ubah gaya hidup itu berkata mereka juga berkongsi resipi dengan restoran lain.

“Kami jangkakan akan perlu menyediakan minimum 1,000 makanan sehari untuk memberi kesan kepada kesihatan petugas barisan hadapan.

“Ramai orang memandang rendah kebaikan makanan seimbang, diet berasaskan tumbuhan.

“Jika ia dapat memulihkan pesakit, ia sudah tentu dapat memberikan tenaga kepada petugas yang penat.”

Kuan berkata mereka memulakan kempen selepas PKP diumumkan pada 16 Mac.

“Sebaik saja PKP bermula 18 Mac, saya lihat di media sosial, kawan dan rakan sekerja saya dipanggil bertugas di barisan hadapan dengan notis tiga hari.

“Apa yang menyedihkan ada rakan saya terpaksa sambut hari jadi sambil berdiri di tingkat satu hospital sementara keluarganya, suami dan anak perempuannya menyanyikan lagu selamat ulang tahun dari tingkat bawah.

“Kita tahu kita perlu lakukan sesuatu. Kami fikir cara terbaik untuk membantu ialah dengan menghantar sedikit makanan berkhasiat untuk menyokong petugas barisan hadapan.

“Jadi kami lancarkan kempen sumbangan kecil untuk mendapatkan bantuan dari rakan dan keluarga.”

Kuan berkata rakannya antara doktor yang dipanggil bertugas di barisan hadapan dan terpaksa melakukan penjarakan sosial dengan keluarganya.

Makanan sihat, berasaskan tumbuhan

Tidak seperti yang lain, Lew berkata mereka memilih untuk menyediakan makanan berasaskan tumbuhan atau vegan kerana ia berkesan bagi pesakit yang mendapatkan bantuan Savor of Life.

“Kami menggunakan makanan berasaskan tumbuhan dalam program kami bagi membantu mereka yang mengalami obesiti, diabetes, hipertensi dan masalah kolestrol.

“Kami rasa ia cara yang baik untuk membantu pegawai perubatan,” katanya.

Lew, 26, berkata mereka menyediakan pilihan makanan Asia atau Barat untuk menu makan tengah hari dan malam.

“Rakyat Malaysia perlu kepelbagaian dalam makanan mereka, dan kami hidangkan pelbagai jenis pasta, lasagne atau moussaka, dan kari.

“Antara yang popular ialah paneer mentega di mana kami gantikan keju dengan tauhu,” kata Lew.

Hidangan lain termasuk nasi lemak atau rendang tempe.

“Semuanya didatangkan dengan nasi,” katanya.

Setakat semalam, makanan sihat untuk kempen petugas barisan hadapan di SimplyGiving.com dapat mengumpul hampir RM50,000, dua kali ganda daripada sasaran awal RM25,000.

Susulan permintaan dan lanjutan tempoh PKP hingga 14 April, Kuan berkata mereka menaikkan sasaran kutipan sumbangan kepada RM250,000.

“Kami menyasarkan untuk menyediakan 14,000 makanan sihat kepada petugas barisan hadapan,” kata Kuan.

Mereka yang hendak memberi sumbangan kepada kempen ini boleh ke laman web https://www.simplygiving.com/appeal/coronavirus-malaysia. – 27 Mac, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen