Sarawak guna peranti pantau individu jalani kuarantin Covid-19


Desmond Davidson

Peranti dengan kod QR yang dipakai di pergelangan tangan itu menyerupai gelang pengenalan pesakit hospital. – Gambar The Malaysian Insight, 26 Mac, 2020.

PIHAK Berkuasa Multimedia Sarawak (SMA) hari ini melancarkan peranti khas untuk memudahkan pihak berkuasa negeri memantau pergerakan individu yang dikehendaki menjalani kuarantin kerana disyaki dijangkiti Covid-19.

SMA dalam satu kenyataan hari ini berkata peranti digital tersebut akan meningkatkan keupayaan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak membuat pemantauan dalam usaha mengekang penularan wabak itu.

Buat masa ini peranti berkenaan akan digunakan untuk individu yang menjalani kuarantin di rumah.

Peranti dengan kod QR yang dipakai di pergelangan tangan itu menyerupai gelang pengenalan pesakit hospital.

Di bawah peraturan kesihatan negeri, rakyat Sarawak dan penduduk tetap perlu mengisi borang isytihar kesihatan sebelum menjalani saringan Covid-19.

Jika keputusan ujian positif, mereka akan dikategorikan sebagai pesakit dalam siasatan (PUI), yang perlu menjalani kuarantin di rumah atau hospital.

Sekiranya keputusan ujian negatif, individu berkenaan perlu menjalani kuarantin di rumah selama 14 hari yang dikenali Notis Menginap di Rumah (SHN).

Individu di bawah SHN akan diberi peranti khas ini dan setiap dua hari mereka perlu mengimbas peranti untuk menghantar maklumat terkini. – 26 Mac, 2020.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen