PELARIAN di negara ini menjadi satu daripada golongan paling terjejas akibat perintah kawalan pergerakan (PKP) kerajaan bagi mengekang penyebaran Covid-19, kata kumpulan hak Tenaganita.
Pelarian yang berjumlah hampir 180,000 orang, sering berdepan kehidupan yang sukar di Malaysia.
Memandangkan Malaysia tidak menandatangani Konvensyen Pelarian PBB 1951, mereka tidak dibenarkan mendapatkan kerja yang sesuai.
Justeru, kebanyakannya membuat kerja rencam dengan memperoleh upah purata RM40 hingga RM60 sehari, kata Hasnah Hussin, sukarelawan penggerak komuniti dengan Tenaganita.
PKP menambah lagi kesukaran kerana mereka kini hilang pendapatan harian dan bergelut untuk memberi keluarga makan sepanjang tempoh ini, tambahnya.
Untuk membantu pelarian semasa tempoh PKP, Hasnah berkata Tenaganita bersama tiga organisasi lain, menganjurkan kempen mengumpul dana sebanyak RM30,000 untuk membantu 500 keluarga di Lembah Klang.
Tiga kumpulan lain adalah Refuge for the Refugees, Dapur Jalanan Kuala Lumpur dan Liga Rakyat Demokratik.
“Kami berhasrat untuk mengutip sekurang-kurangnya RM30,000, iaitu RM60 bagi setiap keluarga.
“Jadi, dengan wang ini kami merancang mendapatkan beras, minyak, bawang dan banyak barangan yang diperlukan untuk 500 keluarga ini,” kata Hasnah kepada The Malaysian Insight.
Bagaimanapun, beliau segera mengakui terdapat lebih 500 keluarga yang memerlukan bantuan.
“Di Ampang sahaja, terdapat lebih 3,000 keluarga. Jadi, 500 yang kami akan bantu adalah dalam kapasiti yang kami mampu,” katanya.
Beliau berkata mereka akan dapat membantu lebih banyak keluarga jika pengumpulan dana berjaya.
Sebanyak 500 keluarga yang akan menerima sumbangan itu terdiri daripada warga Rohingya, orang Islam Myanmar, Afghanistan dan Syria. – 27 Mac, 2020.
Berita penuh di sini
Komen