PARTI Solidariti Tanah Airku (Sabah Star) semalam menjadi pihak ketiga menyerahkan usul untuk membentangkan semula hak negeri di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Usul pertama difailkan pada 6 November oleh Naib Presiden Parti Warisan Sabah, Junz Wong dan diikuti Presiden Parti Cinta Sabah, Wilfred Bumburing tiga hari kemudian.
Presiden Sabah Star, Jeffrey Kitingan memberitahu The Malaysian Insight semalam, beliau hanya melaksanakan haknya di bawah Perkara 8 MA63.
Sabah akan membentangkan belanjawan negerinya hari ini.
“Mari kita lihat sama ada speaker dewan negeri akan menolak gerakan itu atau tidak,” katanya.
Ahad lepas, Speaker Dewan Rakyat Pandikar Amin Mulia mempersoalkan perlunya usaha seperti itu memandangkan kerajaan persekutuan sudah memberi hak istimewa kepada Sabah.
Kumpulan forum MA63, MySabah, yang ditubuhkan oleh Menteri Luar Negeri Anifah Aman, juga mengatakan tindakan itu melanggar Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan.
Sementara Perkara 8 MA63 memperuntukkan kerajaan negeri untuk memastikan negeri diberikan haknya, Artikel 112D Perlembagaan Persekutuan menyediakan rundingan kerajaan persektuuan dengan kerajaan Sabah mengenai 40% hak hasil pendapatan Sabah.
Menurut Kitingan, Artikel 112D sering digunakan untuk mengalihkan perhatian pihak yang menggesa Putrajaya untuk menghormati dan memulihkan hak istimewa negeri.
Dalam tempoh empat tahun lalu, sejak menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri Bingkor, kerajaan negeri yang diketuai Musa enggan mendengar gesaan memasukkan 40% hak pendapatan bersih dalam bajet tahunan negeri.
“Walaupun diingatkan dari semasa ke semasa, Musa, yang juga menteri kewangan negeri, dan kabinetnya melanggar peruntukan Perlembagaan persekutuan kerana gagal memenuhi peruntukan diberi,” kata Kitingan sambil menambah Kabinet negeri melanggar sumpahnya untuk menegakkan dan melindungi Perlembagaan Persekutuan.
Katanya, peruntukan itu mencecah lebih RM20 bilion setahun.
“Tidak mengapa jika kerajaan persekutuan enggan mengakui dan mengembalikan pendapatan bersih 40%.
“Kerajaan Sabah dan khususnya menteri besar merangkap menteri kewangan Musa Aman, sepatutnya melakukan perkara yang betul dan menyediakan peruntukan 40% dalam Bajet 2018 kerana ia sah menurut Perlembagaan dan undang-undang bagi Sabah,” katanya. – 17 November, 2017.
Komen