PIHAK pengurusan madrasah tahfiz di Sri Petaling, Kuala Lumpur memantau dengan dekat perkembangan pelajarnya yang sedang menjalani kuarantin setelah dibimbangi terkena jangkitan Covid-19.
Mereka juga berhubung dengan keluarga pelajar terlibat bagi memberikan maklumat terkini, selain bekerjasama dengan pihak berkuasa kesihatan, kata wakil pengurusan yang hanya mahu dikenali sebagai Ustaz Mansur.
“Kita telah maklumkan keluarga setiap perkembangan terkini pelajar, dan nampaknya keluarga tidaklah terlalu risau kerana pelajar dijaga baik oleh pihak pengurusan.
“Yang disyaki Covid dan positif Covid-19 kita tak boleh nak mendedahkan jumlah kerana tidak mahu bercanggah dengan Kementerian Kesihatan,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Mansor menambah buat masa ini pelajar dalam lingkungan umur 13 ke 18 tahun yang menjalani kuarantin meneruskan aktiviti keagamaan dengan bersemangat.
“Pelajar okay, masih lagi bersemangat… mereka teruskan aktiviti seperti biasa dan tidaklah nampak terlalu risau sangat.
“Orang luar saja yang suka perbesarkan walhal kami dalam ini elok saja,” katanya.
Kelmarin, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia JBPM Kuala Lumpur menerusi satu kenyataan memaklumkan seramai 132 pelajar tahfiz di Masjid Seri Petaling di Kuala Lumpur, dipindahkan ke stesen kuarantin di Institut Sosial Malaysia (ISM).
Kumpulan pelajar tahfiz itu menjalani proses nyah cemar yang dilaksanakan oleh Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (Hazmat) JBPM KL sebelum dipindahkan.
Masjid Seri Petaling yang menjadi tapak perhimpunan tahunan jemaah tabligh dari serata dunia pada hujung Februari lalu kini menjadi kluster terbesar jangkitan Covid-19 di Malaysia.
Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah hari ini mengumumkan 172 kes baharu, dengan 71 daripadanya datang dari kluster perhimpunan tabligh di Sri Petaling. 101 kes lagi masih belum dikesan puncanya.
Setakat 12 tengah hari tadi, lebih kurang 59% atau 1.057 daripada 1,796 kes jangkitan Covid-19 datang daripada kluster perhimpunan jemaah tabligh.
Setakat 12 tengah hari ini, Malaysia mempunyai 1,796 kes positif Covid-19, dengan 45 kes dirawat di unit rawatan rapi (ICU), termasuk 34 yang menggunakan alat bantuan pernafasan.
Persatuan tahfiz kumpul data
Sementara itu, Presiden Persatuan Madrasah Tahfiz Al- Quran Permata, Manalito Dahlan, berkata pihaknya sudah mengeluarkan pekeliling supaya pusat tahfiz ditutup dan pelajar pulang ke rumah sejak hari pertama perintah kawalan pergerakan bermula.
Bagaimanapun beliau bimbang kerana ada pusat tahfiz yang tidak dapat ditutup kerana pelajarnya terdiri daripada anak yatim dan kumpulan pelajar dan guru dari luar negara seperti Bangladesh, Myanmar dan Timur Tengah.
“Kita sedang kumpulkan maklumat berapa ramai pelajar dan sekolah jenis ini.
“Kita takut mereka ini terputus bekalan makanan sepanjang tempoh kawalan ini, jadi bantuan sedang digerakkan bagi pelajar, guru dan kakitangan yang terjejas,” katanya.
Manalito juga mengesahkan terdapatnya kes positif Covid-19 dalam kalangan guru, kakitangan, ahli keluarga kakitangan dan pelajar tahfiz, namun beliau enggan mendedahkan jumlah kes.
Beliau juga sudah meminta mana-mana pihak yang berhubung dengan mereka agar menghubungi persatuan bagi memudahkan bantuan dan urusan selanjutnya.
“Memang ada tapi saya tak boleh dedahkan kerana maklumat ini rahsia dan kalau kita dedahkan akan beri reputasi buruk kepada sekolah tahfiz tersebut,” katanya.
Beliau juga enggan mendedahkan jumlah sekolah tahfiz yang berdaftar bawah persatuan.
Pada masa sama Manlito juga bimbang sekiranya tempoh kawalan pergerakan dipanjangkan kerana boleh memberi kesan kewangan kepada pihak sekolah.
“Sekarang ini kebanyakan sekolah tahfiz menghentikan bayaran yuran pelajar sepanjang tempoh arahan kawalan pergerakan.
“Jadi ia sudah tentu beri kesan kepada pengurusan sekolah dan gaji guru- guru, pihak sekolah tidak dapat membayar gaji,” katanya.
Awal hari ini, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengumumkan perintah kawalan pergerakan yang sepatutnya berakhir pada 31 Mac dilanjutkan dua minggu lagi sehingga 14 April ini. – 25 Mac, 2020.
Komen