Speaker Kelantan dakwa pemimpin PAS paling bersih, bebas rasuah


Diyana Ibrahim

Pada muktamar PAS hari ini, speaker DUN Kelantan berkata pentadbiran dan pemimpin PAS paling bersih dan tidak pernah didakwa dengan rasuah. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 30 April, 2017.

SPEAKER DUN Kelantan Abdullah Yaakob hari ini berkata pentadbiran dan pemimpin PAS paling bersih dan tidak pernah didakwa dengan rasuah.

Beliau berkata dakwaan itu dibuktikan berdasarkan laporan Indeks Penarafan Bintang (SSR) 2015 iaitu 13 daripada 18 jabatan dalam kerajaan negeri diberi rating lima bintang kerana urus tadbir yang baik.

“Ia petanda umum yang kerajaan negeri Kelantan melaksanakan urus tadbir baik.

“Sejak 27 tahun lalu tidak ada satu kes rasuah yang didakwa kepada pemimpin dari bawah sampai pemimpin atasan tidak ada (rasuah),” katanya ketika membahaskan ucapan dasar presiden di Muktamar Kota Sarang Semut Kedah.

Sementara itu, Adun Tepoh Hishamuddin Abdul Karim berkata PAS membuktikan pemimpin mereka paling bersih dan bebas rasuah.

Sebaliknya, PKR dan DAP yang terbukti terbabit dengan kes rasuah walaupun mereka menuduh presiden PAS menerima dana RM90 juta daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

“Dalam keadaan pemimpin PAS dipalit dengan musuh menerima RM90 juta duit 1MDB tiba-tiba Ketua Pemuda PKR Ampang Adam Rosly pula ditangkap SPRM.

“Dan dalam keadaan PAS dituduh pemakan dedak dan rasuah, ketua menteri Pulau Pinang dan setiausaha Agong DAP Lim Guang Eng terpalit pembelian harga banglo murah.

“Tetapi pemimpin PAS yang memegang tanggungjawab memerintah negeri langsung tidak terlibat dengan sebarang skandal diheret SPRM,” katanya. – 30 April, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen