KERAJAAN perlu berani dan segera mengambil langkah tambahan untuk membantu seluruh rakyat yang terbeban kesan penularan Covid-19, selain membenarkan penangguhan bayaran balik dan penyusunan semula pinjaman bank, kata Majlis Setiausaha Pakatan Harapan (PH).
Kata mereka, moratorium pinjaman bank tidak membantu segelintir rakyat Malaysia menyelesaikan bayaran menyewa rumah atau perniagaan kecil berhadapan dengan upah tenaga kerja yang mewakili kos paling tinggi.
“Tindakan segera dan berani diperlukan untuk menangani waktu yang luar biasa ini,” kata Majlis Setiausaha PH dalam satu kenyataan hari ini.
Kenyataan itu dikeluarkan bersama oleh Saifuddin Nasution (PKR), Dr Hatta Ramli (Amanah), Liew Chin Tong (DAP).
Dalam kenyataan itu mereka menyenaraikan tiga cadangan, khusus untuk golongan berpendapatan rendah atau B40 serta usahawan kecil dan sederhana (PKS).
Pertama, mereka mencadangkan bantuan tunai RM1,000 bagi B40 pada bulan ini dan bulan depan untuk meringankan beban kesan penularan Covid-19.
“Nasib mereka harus segera ditangani untuk mengelakkan masalah kelaparan dalam kalangan orang ramai serta kegelisahan sosial,” kata Majlis Setiausaha PH.
Mereka juga mencadangkan kemudahan tunai kepada PKS dan rangsangan tambahan sehingga RM150 bilion bagi meredakan aliran tunai para peniaga kecil.
Selain itu PH juga mencadangkan agar semua perkhidmatan utiliti seperti Tenaga Nasional, Telekom Malaysia, syarikat telekomunikasi dan lain-lain memberikan penangguhan pembayaran bil untuk tempoh enam bulan.
“Mereka juga harus membenarkan pembayaran balik secara ansuran selepas tempoh enam bulan tersebut.
“Langkah ini akan membantu isi rumah dan perniagaan menumpukan usaha pada waktu PKP ini dan seterusnya jangkamasa pemulihan dalam tempoh enam bulan,” kata PH.
Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dijadual mengumumkan pakej rangsangan ekonomi prihatin rakyat pada Jumaat ini, selepas dua pengumuman yang dibuat sebelum ini.
Pada Isnin, Muhyiddin mengumumkan kemudahan pengeluaran simpanan dalam Kumpulan Simpanan Wang Pekerja (KWSP) serta beberapa bantuan lain, termasuk peruntukan keseluruhan RM130 juga untuk semua negeri.
Hari ini, Muhyiddin mengumumkan kelulusan Bank Negara Malaysia untuk penangguhan bayaran balik dan penyusunan semula pinjaman untuk individu dan usahawan untuk tempoh enam bulan bermula bulan depan. – 25 Mac, 2020.
Komen