KEMENTERIAN Kewangan dan Bank Negara Malaysia (BNM) akan memperincikan penangguhan bayaran balik dan penyusunan semula pinjaman, kata Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.
Katanya, semua langkah itu melibatkan jumlah nilai sekurang-kurang RM100 bilion, bertujuan mengurangkan beban rakyat susulan penularan pandemik Covid-19.
“Ini merupakan satu jumlah yang amat bermakna, dan saya amat berterima kasih di atas keperihatinan Kementerian Kewangan, BNM serta industri perbankan Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
“Saya telahpun meminta Kementerian Kewangan dan BNM untuk memperincikan pengumuman ini dengan lebih mendalam agar rakyat memahami sepenuhnya manfaat yang dtawarkan.”
Semalam, BNM dalam pekeliling kepada ketua institusi kewangan memaklumkan langkah penangguhan bayaran balik pinjaman, kecuali kad kredit, secara automatik bagi tempoh enam bulan berkuat kuasa 1 April ini.
Langkah itu meliputi semua peminjam termasuk usahawan kecil dan sederhana.
Bagi pemegang kad kredit, mereka diberi pilihan untuk menukar baki hutang kepada pinjaman berjangka, yang boleh dibuat sehingga 31 Disember ini.
“Sektor korporat boleh berunding dengan bank masing-masing untuk menyusun semula pembayaran balik yang sesuai dengan keadaan perniagaan mereka.
“Ini adalah penting untuk membolehkan syarikat-syarikat terus berkemampuan untuk mengekalkan pekerjaan dan segera meneruskan aktiviti perniagaan masing-masing,” tambah Muhyiddin. – 25 Mac, 2020.
Komen