PEGUAM mewakili Zulkiflee Anwar Ulhaque memohon arahan untuk menangguhkan prosiding sehingga penghakiman dikeluarkan Mahkamah Persekutuan mengenai kesahihan larangan perjalanan dari sudut Perlembagaan.
Dalam mendengar permohonan itu, Hakim Azizah Nawawi di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengatakan keputusan akan dibuat pada 28 November.
Zulkiflee yang lebih dikenali sebagai Zunar memohon semakan kehakiman mencabar larangan perjalanan yang dikenakan ke atasnya sejak tahun lepas.
Larangan perjalanan itu dikenakan pada 17 Oktober tahun lepas apabila Zunar dihalang keluar negara bagi menghadiri sebuah forum di National University of Singapore. Tiada sebab diberikan kepada larangan itu.
Pendengaran awam permohonan semakan kehakiman Zunar asalnya dijadualkan berlangsung hari ini. Bagaimanapun, peguamnya berhujah yang wujud perkembangan terbaru perundangan mengenai larangan perjalanan pada 6 November. Pada tarikh itu, Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua memohon pembatalan larangan perjalanan yang dikenakan ke atasnya pada November 2015 ditolak. Panel tiga hakim diketuai Ketua Hakim Raus Sharif sebulat suara menolak permohonan Pua.
Raus dalam penghakimannya berkata undang-undang sekarang mengikuti kes Loh Wai Kong pada 1979, seperti diputuskan Hakim Mohamed Suffian Mohamed Hashim. Dalam kes itu, Loh memohon untuk memiliki pasport selepas didakwa atas kesalahan jenayah.
Loh berhujah yang dia masih layak untuk ke luar negara yang dianggap hak asasi seperti mana termaktub di bawah Perkara 5 Perlembagaan. Mahkamah Persekutuan memutuskan yang hak sebegitu tidak wujud.
Hari ini, peguam utama Zunar, Gopal Sri Ram memohon mahkamah tinggi untuk mengeluarkan arahan merujuk kepada persoalan Perlembagaan berkaitan Mahkamah Persekutuan di bawah Seksyen 84 Akta Mahkamah Kehakiman 1964. – 16 November, 2017.
Untuk berita penuh sila baca di sini.
Komen