Petugas kesihatan positif Covid-19 bukan berjangkit di wad atau ICU, kata kementerian 


Bede Hong

Wad Covid-19 dan ICU merupakan tempat selamat kerana semua petugas kesihatan menggunakan kelengkapan perlindungan peribadi.– Gambar fail The Malaysian Insight, 24 Mac, 2020.

TIADA petugas kesihatan dikesan positif Covid-19 dijangkiti di wad atau unit rawatan rapi (ICU) yang digunakan pesakit koronavirus, kata Dr Noor Hisham Abdullah. 

Ketua pengarah kesihatan itu berkata, mereka dijangkiti ketika hadir ke perhimpunan di masjid atau pesakit yang tidak mendedahkan mereka mungkin dijangkiti. 

“Tiada satu pun kakitangan perubatan yang merupakan petugas barisan hadapan yang dijangkiti, terlibat dengan wad Covid-19 atau ICU,” katanya pada sidang media di Putrajaya hari ini.

“Malah ia merupakan tempat paling selamat kerana semua petugas kesihatan mengenakan peralatan perlindungan,” tambahnya. 

Dr Noor Hisham berkata, kakitangan perubatan terlibat adalah mereka yang hadir pada majlis keramaian seperti di masjid. 

“Mereka yang membawa virus ke klinik atau hospital. Atau terdapat pesakit yang tidak mendedahkan atau memaklumkan kepada kita mereka ada hubungan dengan pesakit Covid-19.

“Hanya selepas diberikan rawatan barulah mereka dedahkan ada kontak kepada pesakit yang positif, kita pula yang perlu jaga diri dan pastikan menjalani ujian. 

“Jadi petugas kesihatan bukan dijangkiti daripada pesakit tetapi daripada masyarakat seperti di majlis perkahwinan dan perhimpunan awam,” katanya.

Semalam Kementerian Kesihatan mengesahkan 19 kakitangannya dan lima lagi daripada pusat kesihatan swasta dijangkiti Covid-19. 

Dua daripada kakitangan KKM kini dirawat di ICU dan siasatan mendapti kesemua mereka adalah kontak rapat kepada generasi pertama atau kedua kluster tabligh.
 
Semalam Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan rasa sedih berikutan kakitangan KKM dan petugas fasiliti kesihatan swasta dijangkiti Covid-19.

“Adalah amat penting untuk kita bersikap jujur ketika saringan kerana maklumat yang tepat ini penting kepada KKM. Ini juga dapat mengelakkan petugas barisan hadapan KKM tidak dijangkiti,” menurut kenyataan Istana Negara.

“Al-Sultan Abdullah mengulangi titah agar rakyat terus memainkan peranan dengan mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan dan saranan serta panduan daripada KKM bagi memastikan pandemik ini dapat dibendung dan diakhiri secara berkesan dengan segera.” – 24 Mac, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen