PM terima sumbangan 5 syarikat korporat untuk Tabung Covid-19


Perdana Menteri Muhyiddin Yassin hari ini menerima sumbangan berjumlah RM5 juta daripada lima syarikat korporat untuk Tabung Covid-19. – Gambar fail The Malaysian Insight, 24 Mac, 2020.

PERDANA Menteri Muhyiddin Yassin hari ini menerima sumbangan berjumlah RM5 juta daripada lima syarikat korporat untuk Tabung Covid-19. 

Sumbangan yang diterima hari ini menjadikan jumlah terkumpul Tabung Covid-19 kini sebanyak RM8.125 juta tidak termasuk barangan yang diterima.

Replika cek dan sumbangan untuk Tabung Covid-19 disampaikan oleh wakil syarikat korporat kepada Muhyiddin di Perdana Putra di Putrajaya, hari ini. 

Selain wang tunai, perdana menteri turut menerima sumbangan berupa 520,000 penutup hidung dan mulut daripada Titijaya Land Berhad untuk digunakan petugas barisan hadapan dalam menangani wabak Covid-19. 

Sumbangan Titijaya Land Berhad itu disampaikan kepada perdana menteri oleh pengasasnya SP Lim. 

Antara yang menyampaikan sumbangan pada hari ini ialah Spanco Sdn Bhd yang diwakili pemiliknya Robert Tan Hua Choon yang menyumbang sebanyak RM2 juta. 

Turut memberikan sumbangan adalah DRB Hicom Berhad. Replika cek RM1 juta disampaikan oleh Pengarah Urusan Kumpulan DRB Hicom Syed Faisal Albar Syed Ali Rethza Albar.

Syarikat lain yang menyumbang kepada Tabung Covid-19 pada hari ini adalah MMC Corporation Berhad yang menyumbang RM1 juta dan disampaikan oleh Pengarah Urusan Kumpulannya Che Khalib Mohamad Noh. 

Satu lagi syarikat yang menyumbang kepada Tabung Covid-19 ialah YTL Corporation Berhad yang menyumbang RM1 juta dengan replika cek disampaikan kepada Perdana Menteri oleh  Pengerusi Eksekutifnya Francis Yeoh. 

Selepas menerima sumbangan itu, perdana menteri berbual seketika dengan wakil syarikat korporat yang hadir dengan memastikan jarakan sosial dipatuhi. 

Tabung Covid-19 dilancarkan kerajaan  pada 11 Mac lepas sebagai usaha kerajaan membantu rakyat yang terjejas ekoran wabak itu. – Bernama, 24 Mac, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen