Bekalan makanan di ibu negara tidak akan terganggu, kata Annuar 


Noel Achariam

Menteri Wilayah Persekutuan Annuar Musa berkata semua industri dalam pengedaran makanan, sama ada pengeluar sayur-sayuran atau buah-buahan dibenarkan.– Gambar fail The Malaysian Insight, 24 Mac, 2020.

TIADA sekatan dikenakan terhadap lori yang membawa bekalan makanan ke pasar borong di Kuala Lumpur, kata Menteri Wilayah Persekutuan Annuar Musa.

Menurutnya, Putrajaya memutuskan kenderaan berkenaan boleh menghantar makanan selagi ia di bawah kategori perkhidmatan penting.

“Semua industri dalam pengedaran makanan, sama ada pengeluar sayur-sayuran atau buah-buahan dibenarkan.

“Walaupun kita di bawah perintah kawalan pergerakan, kita masih perlu makan,” katanya di Facebook kementerian berkenaan hari ini.

Annuar berkata demikian bagi menjelaskan laporan terdapat lori yang menghantar sayur-sayuran ke pasar borong Selayang diarah patah balik ke Cameron Highlands.

“Kami telah menjalankan pemeriksaan dan mendapati berlaku salah faham.

“Sekiranya tiada penghantaran dan bekalan makanan, kita akan hadapi masalah.”

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Annuar turut menggesa mereka yang hadir pada perhimpunan tabligh di Masjid Jamek Sri Petaling bulan lalu tampil untuk saringan.

“Walaupun mereka pemegang kad pelarian UNHCR atau pendatang asing, mereka tidak perlu takut untuk tampil.

“Walaupun tiada gejala, tolong tampil.”

Menurutnya, dengan berbuat demikian pegawai kesihatan dapat mengekang penyebaran virus berbahaya itu.

Pihak berkuasa masih mengesan mereka yang hadir pada perhimpunan tabligh di Masjid Jamek Sri Petaling di Kuala Lumpur.

Semalam, Annuar berkata kerajaan telah mengisytiharkan kawasan sekitar masjid berkenaan sebagai zon merah.

Masjid berkenaan menjadi lokasi perhimpunan tabligh yang menarik peserta kira-kira 16,000 orang yang menjadi punca perkembangan kluster Covid-19.

Di bawah garis panduan Kementerian Kesihatan, mana-mana kawasan yang mempunyai 40 kes akan diisytiharkan zon merah, katanya.

Zon merah terlibat adalah Lembah Pantai (157 kes) dan Titiwangsa (44 kes).

Semalam, Malaysia melaporkan 212 jangkitan baharu, menjadikan jumlah keseluruhan 1,519. Daripada jumlah kes baharu, 123 adalah daripada kluster tabligh.

Angka kematian akibat Covid-19 di Malaysia hari ini mencecah 15 orang. – 24 Mac, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen