MADRASAH Tahfiz Al-Jauhar di Kota Tinggi, Johor mengakui tahu mengenai rekod jenayah pembantu warden yang didakwa memukul Mohamad Thaqif Amin Mohd Gaddafi hingga menyebabkan kecederaan dan kematiannya.
Pengetuanya Mohammad Afdhaluddin Ismail berkata madrasah itu memberi peluang pekerjaan kepada lelaki yang dikenali sebagai Syafiq itu walaupun tahu dia bekas banduan.
Katanya, lelaki yang dikenali sebagai Syafiq itu wajar diberikan peluang kerana sudah diberikan parol dan dibebaskan awal kerana berkelakuan baik.
“Syafiq mengaku sendiri sejarahnya selepas bekerja dan ia membuatkan kami memahami beliau cuba jujur untuk membaiki kehidupan.
“Kami maklum Syafiq diberi parol dan dibebaskan awal kerana berkelakuan baik. Rentetan itu, kami berpendapat, jika pengarah penjara mengakui beliau sedang berubah dan layak diberi kebebasan awal.
“Apakah kami sebagai ahli masyarakat tidak boleh memberi peluang kedua untuknya,” katanya dalam satu kenyataan di laman Facebook Madrasah Tahfiz Al-Jauhar hari ini.
Thaqif, 11, pelajar tahfiz di madrasah itu dipotong kedua-dua kakinya dikatakan didera dan diseksa oleh pembantu warden asrama itu yang merotannya dengan getah paip sehingga kakinya bertukar lebam, biru dan hitam.
Kakinya terkena jangkitan dan kemudian tersebar ke bahagian buah pinggang serta bahu kanak-kanak malang itu.
Beliau kemudian dijadualkan menjalani satu lagi pembedahan untuk membuang tangan kanannya tetapi ditangguhkan kerana jantungnya lemah.
Sebelum ini dilaporkan kemungkinan beliau mengalami masalah kesihatan akibat perbuatan pembantu warden di madrasah itu.
Beliau meninggal dunia di Hospital Sultan Ismail, Johor Baru pada Rabu.
Afdhaluddin berkata terdapat enam keping surat Thaqif yang diserahkan kepada polis untuk siasatan lanjut, yang dapat menjelaskan watak sebenar pelajar terbabit.
Katanya, istilah buli yang digunakan (dalam tulisan itu) mungkin tidak dapat menggambarkan hakikat sebenar kejadian.
“Sebagai contoh, bila seseorang pelajar menggambarkan dia dibuli, kita harus mendalami hakikatnya. Apakah buli yang kita faham? Untuk hal ini, kita beri ruang untuk polis jalankan siasatan,” katanya.
Beliau berkata apa yang terjadi bukan seperti digambarkan kerana madrasah diawasi dengan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang dapat membuktikan perkara sebenar.
“Syafiq menjalankan tugas dengan baik dan beliau bukan ustaz. Kami berani menyatakan komitmen beliau melebihi ustaz di MTAJ ke arah berubah menjadi insan lebih baik. Kekurangan seorang manusia tidak sepatutnya memberhentikan dia terus menjadi manusia.
“Kenyataan ini sama sekali tidak membela Syafiq kerana beliau memilih untuk mengambil tindakan terhadap pelajar dengan menggunakan getah paip,” katanya.
Pembantu warden itu kini yang kini ditahan untuk membantu siasatan kes itu disambung reman semula sehingga 3 Mei ini.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri Datuk Kamarul Zaman Mamat dalam satu kenyataan berkata reman tujuh hari itu bagi membolehkan lelaki berkenaan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. – 30 April, 2017.
Komen