Pesuruhjaya Suhakam bebas jangkitan Covid-19


Noel Achariam

Pada 15 Mac lalu media melaporkan dua pegawai Suhakam disahkan positif Covid-19 manakala seorang lagi pegawai diletakkan sebagai pesakit dalam siasatan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 24 Mac, 2020.

DUA pesuruhjaya Suhakam dibenarkan keluar dari hospital selepas mereka disahkan bebas daripada jangkitan Covid-19.

Kedua-duanya diuji positif dengan virus pada awal bulan ini.

Seorang daripada pesuruhjaya yang enggan namanya didedahkan berkata walaupun takut pada mulanya, beliau agak lega apabila akhirnya disahkan bebas daripada jangkitan virus.

Pegawai kanan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia itu menjalani ujian pada 12 Mac, ditahan pada 14 Mac dan dibenarkan keluar semalam.

Pesuruhjaya yang ditahan di wad Hospital Kuala Lumpur berkata penjagaan yang diberi oleh kakitangan adalah sistematik dan teliti.

“Tisu tekak diambil dan X-ray dibuat ketika saya mula-mula tiba. Kemudian pemeriksaan harian nadi, tekanan darah dan suhu.

“Para pakar membuat lawatan pada sebelah pagi bersama doktor. Semua kakitangan sangat baik dan membantu,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Pesuruhjaya itu berkata ketika ditahan beliau tidak diberi sebarang ubat tetapi dinasihatkan oleh para doktor menjaga pemakanan dan minum empat liter air setiap hari.

“Kakitangan perubatan akan melakukan pengambilan sampel tisu tekak setiap tiga hari dan apabila hasilnya dua kali negatif, barulah kami disahkan sihat dan dibenarkan keluar.

“Kami kemudiannya dikuarantin selama tujuh hari sebelum satu lagi ujian swab dan satu lagi selepas 14 hari.”

Beliau juga menasihatkan mereka yang mempunyai gejala walaupun sedikit atau jika mempunyai kontak agar diperiksa.

“Semakin cepat kita mendapat pemeriksaan lebih baik, sebelum kita menjangkiti orang lain.”

Pada 15 Mac, The Malaysian Insight melaporkan dua pegawai Suhakam disahkan positif Covid-19 manakala seorang lagi pegawai diletakkan sebagai pesakit dalam siasatan (PUI).

Suhakam berkata seorang lagi pesuruhjaya positif ujian pada 7 Mac, dimasukkan ke wad pada 11 Mac dan dibenarkan keluar pada 19 Mac, sementara ujian seorang lagi pegawai negatif.

Ketiga-tiga mereka hadir dalam siasatan awam mengenai kehilangan Pastor Joshua Hilmy dan isterinya, Ruth Sitepu, yang berlangsung pada awal Mac.
Siasatan awam diadakan pada 2 hingga 4 Mac di ibu pejabat Suhakam di Kuala Lumpur.

Jumlah kematian bagi Covid-19 di Malaysia meningkat kepada 14 orang, dengan tiga kematian baru yang dilaporkan hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata Malaysia juga mencatatkan jumlah kes 1,518 bagi Covid-19. – 24 Mac, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen