POLIS mengenal pasti dalang yang didakwa bertanggungjawab terhadap pencerobohan data melibatkan 46.2 juta pelanggan telefon mudah alih di Malaysia, kata Ketua Polis Negara Mohamad Fuzi Harun.
Katanya, polis sudah mengambil tindakan lanjut susulan perkembangan terbaru.
“Kita ada maklumat berhubung kes ini dan kita sudah kenal pasti mereka yang terlibat.
“Kita tahu sedikit sebanyak bagaimana pencerobohan data itu berlaku. Ia berlaku apabila sebuah syarikat sedang melakukan urus niaga data.
“Mungkin ada kakitangan yang ambil kesempatan,” kata Fuzi pada satu sidang media di Cheras, hari ini.
Fuzi menolak penglibatan sindiket kecurian data dan berkata pihak berkuasa sedang menentukan motifnya.
Pengasas Lowyat.net Vijandren Ramadas sebelum ini memberitahu The Malaysian Insight ia mungkin dilakukan orang dalam kerana syarikat telekomunisasi menggunakan sistem tertutup yang tidak boleh diakses dari luar.
“Seseorang dari dalam mungkin mengambil data secara terus dari pelayan,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Forum dalam talian itu menemui maklumat itu pada 19 Oktober dan melabelnya sebagai salah satu kebocoran data besar-besaran di Malaysia.
Maklumat itu termasuk nama pelanggan, alamat surat menyurat, nombor telefon dan nombor kad pengenalan. – 16 November, 2017.
Komen