POLIS Dang Wangi ingin mendapatkan maklumat lanjut daripada bekas ahli majlis Petaling Jaya Peter Chong Fook Meng berhubung dakwaan penculikannya di Hat Yai awal bulan ini.
Sumber rapat dengan siasatan itu berkata, mereka masih cuba mengesahkan dakwaan Chong.
Chong memberitahu polis, beliau tidak ingat wajah penculiknya atau hotel di mana beliau didakwa ditahan selama tiga hari sebelum mereka membawanya ke Pattaya sebelum melepaskannya, kata sumber itu.
Temu bual kedua dengan polis dijangka diadakan minggu depan.
“Polis mahu bertemu dengannya sebelum ini tetapi mereka tidak dapat menghubungi atau menemuinya. Beliau akhirnya menghubungi polis dan mereka menetapkan tarikh temu bual sekali lagi,” kata sumber itu.
Penculikan Chong diketahui apabila beliau pulang selepas 10 hari hilang pada 6 April yang menyebabkan situasi panik kerana ia berlaku tidak sampai dua bulan Pastor Raymond Koh diculik di Petaling Jaya pada 13 Februari.
Beliau individu kelima yang “hilang” bersama beberapa aktivis sosial dan ramai menggesa pihak berkuasa meningkatkan usaha menyelesaikan kes itu.
Pasukan petugas khas ditubuhkan untuk mencari Chong dan penyiasatan yang dijalankan menunjukkan beliau menaiki bas ke Thailand beberapa hari selepas kehilangannya.
Ketua Polis Negara Khalid Abu Bakar berkongsi maklumat itu dengan media.
Katanya, kes Chong membazir banyak masa dan sumber polis.
Chong bagaimanapun bertegas dengan keterangannya dan bersedia kembali ke Thailand untuk membuat laporan mengenai kes itu.
Dalam Facebook sehari selepas pulang, Chong berkata akan membuat laporan di Kedutaan Thailand di sini dan jika usaha itu gagal, beliau akan kembali ke sana untuk membuat laporan polis.
Polis berkata mereka tidak menerima sebarang maklumat mengenai sama ada Chong sudah membuat laporan dengan Kedutaan Thailand, atau tidak. – 30 April, 2017.
Komen