10 juta topeng muka percuma kepada rakyat, kata PM


Chan Kok Leong

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin berkata Nadma telahpun diarahkan untuk mempercepatkan pembelian topeng muka dari China. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 23 Mac, 2020.

PUTRAJAYA akan mengedarkan 10 juta keping topeng muka secara percuma kepada rakyat yang memerlukan, kata Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

“Kita akan edar secara percuma kepada rakyat Malaysia yang memerlukannya,” katanya dalam sidang media di Putrajaya hari ini.

Menurut Muhyiddin, Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) telahpun diarahkan untuk mempercepatkan pembelian topeng muka dari China, yang menelan kos RM1.18 sekeping.

Sabtu lalu, Menteri Kerja Raya Fadillah Yusof mengumumkan sebanyak 10 juta topeng muka akan dibawa masuk dari China secara berperingkat bagi memenuhi keperluan rakyat di negara ini.

Fadillah berkata ia adalah sebahagian daripada perjanjian antara Malaysia dan China, dan diselaraskan oleh Kementerian Pengangkutan.

Muhyidin berkata demikian selepas ditanya pemberita apakah kerajaan akan memantau harga topeng muka buatan tempatan.

“Kementerian berkaitan sudah berbincang dengan pengeluar supaya harga topeng muka dikurangkan kepada harga yang lebih munasabah. Kita berharap pengeluar akan bersetuju,” jelasnya.

Tambah beliau, ada empat hingga lima pengeluar topeng muka di Malaysia, yang mampu mengeluarkan dua hingga tiga juta keping dalam sebulan.

“Tetapi mereka berdepan masalah mendapatkan bahan mentah dari luar negara.

“Oleh itu, kita putuskan untuk mengimport 10 juta keping dari China,” kata Muhyiddin. – 23 Mac, 2020.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen