Isu anak buah diliwat Anwar : Husni dicabar lapor polis  


Nabihah Hamid

Ahli Parlimen Sepang Hanipa Maidin (kanan) berkata bekas menteri kewangan II Husni Hanadzlah tidak seharusnya melindungi jenayah yang berlaku. – Gambar The Malaysian Insight, 16 November, 2017.

AHLI Parlimen Pakatan Harapan (PH) mencabar bekas menteri kewangan II Husni Hanadzlah melaporkan kepada polis mengenai dakwaan anak buahnya diliwat oleh Anwar Ibrahim. 

Ahli Parlimen Sepang Hanipa Maidin berkata Husni tidak seharusnya melindungi jenayah yang berlaku.

“Kalau betul percaya anak buah beliau diliwat, buat laporan polis ataupun minta Hairani Nafis buat laporan polis supaya polis boleh siasat,” kata peguam itu dalam sidang media di Parlimen. 

Hanipa sebelum itu berkata, beliau dan Ahli Parlimen Kuala Terengganu Raja Kamarul Bahrin Raja Ahmad telah memberi keterangan kepada pegawai JAWI di Kuala Lumpur pagi tadi. 

“Pagi tadi kami diambil keterangan pegawai penyiasat bagi kes tuduhan qazaf ke atas Husni. Saya beri salinan hansard dan rakaman video ucapan. 

“Kami ditanya apa yang berlaku (dalam dewan), kami bertanya pegawai JAWI apakah SOP selepas ini, dia kata akan panggil Tambun untuk ambil keterangan minggu depan,” kata Hanipa lagi. 

Ketika berhujah dalam Dewan Rakyat pada 1 November lalu, Husni mengkritik bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad, bekas timbalan perdana menteri Muhyiddin Yassin dan memberitahu punca beliau tidak lagi mengikuti perjuangan Anwar.

“Anda kenal siapa Dr Mahathir? Saya tahu. Saya Menteri Kewangan II. Saya tahu apa yang berlaku masa beli Pos Malaysia, di Perwaja. Saya tahu. Anda tahu siapa Muhyiddin. Anda tidak tahu, tetapi saya tahu. Anda tahu siapa Anwar Ibrahim? Saya orang Anwar Ibrahim, saya tinggalkan dia.

“Selepas dia berhenti jadi timbalan perdana menteri, saya bantu dia, pergi ke Bukit Damansara. Bila dia terlibat dengan liwat. Dia terlibat dengan anak buah saya. Kami semua menangis, saya pergi ke Jordan,” kata Husni.

Dalam pada itu, Raja Bahrin berkata aduan Qazaf ini dibuat bagi memberikan pengajaran kepada ahli Parlimen lain agar tidak sewenang-wenangnya mengeluarkan kenyataan berunsur negatif dan menyentuh hal keperibadian seseorang. 

“Dalam isu ini Anwar tidak ada di Parlimen untuk bela diri dan berada dalam penjara dalam keadaan sakit,” katanya. 

Perkara 63 Perlembagaan Persekutuan menyatakan ahli Parlimen tidak boleh dikenakan sebarang tindakan di mahkamah berkenaan dengan apa-apa undi yang diberikan semasa mengambil bahagian dalam apa-apa prosiding mana-mana satu Majlis Parlimen atau mana-mana jawatankuasanya. – 16 November, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen