PENCARUM dibenar mengeluarkan sehingga RM500 sebulan daripada Akaun 2 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk mengatasi beban ekonomi akibat wabak Covid-19, kata perdana menteri.
Pengeluaran untuk pencarum bawah 55 tahun itu dibenarkan dibuat selama setahun, kata Muhyiddin Yassin sewaktu mengumumkan langkah yang diputuskan Majlis Tindakan Ekonomi hari ini.
“Ia dijangka manfaatkan sehingga 12 juta ahli KWSP dengan jumlah RM40 bilion,” katanya di Putrajaya.
Tambanya majlis tersebut juga meluluskan RM500 juta kepada Kementerian Kesihatan untuk keperluan menangani Covid-19, selain RM100 juta bagi penjawatan baharu terutama 2,000 jururawat.
“Saya harap (kementerian buat) ambilan segera supaya semua hospital ada kakitangan cukup untuk tangani penularan wabak Covid-19,” katanya.
Jelasnya, peruntukan itu antara lain untuk pembelian ventilator, peralatan unit rawatan rapi, peralatan perlindungan diri dan keperluan makmal untuk barangan kritikal.
“Untuk menyegerakan pembelian barangan kritikal, kerajaan telah meluluskan tatacara perolehan secara darurat,” katanya.
Sebanyak RM130 juta juga akan disalur ke setiap negeri untuk bantuan kepada rakyat tanpa mengira parti yang mentadbir, katanya dalam sidang media.
Ia antara lain untuk membantu penjaja dan peniaga kecil yang terjejas, tambahnya.
Para meminjam skim Pinjaman Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) pula diberi pelepasan membayar pinjaman selama enam bulan sehingga September berkuatkuasa serta merta, katanya.
Langkah itu melibatkan jumlah kutipan RM750 juta.
Tambahnya, langkah yang diputuskan itu hanyalah sebahagian daripada pakej lebih menyeluruh yang akan diumumkan 30 Mac.
Ia bagi menghadapi kemelesetan ekonomi yang dijangka melanda ekoran penutupan kegiatan ekonomi untuk mengekang penularan Covid-19 melalui Perintah Kawalan Pergerakan.
Seramai 11 maut di Malaysia akibat wabak tersebut yang kini menjangkiti 1,306 orang.
Malaysia mencatat 123 kes baharu setakat semalam. – 23 Mac, 2020.
Komen