SEORANG pengerusi surau dengan latar belakang penyakit kronik disahkan korban ke-11 Covid-19.
Ketua Pengarah Kesihatan Noor Hisham Abdullah berkata lelaki berusia 70 tahun itu pernah mengunjungi Indonesia pada bulan lalu.
Mangsa disahkan meninggal dunia jam 9.05 malam tadi.
Menurut Dr Noor Hisham, mangsa mula menunjukkan gejala seminggu sebelum dimasukkan ke Hospital Canselor Tuanku Muhriz UKM pada 18 Mac lalu. Mangsa disahkan positif Covid-19 keesokan harinya dan diberi bantuan pernafasan di Unit Rawatan Rapi (ICU).
“Kesihatannya merosot hari demi hari dan telah disahkan meninggal dunia pada 22 Mac 2020 jam 9.05 malam.
“KKM mengucapkan takziah kepada ahli keluarga pesakit,” kata Dr Noor Hisham dalam satu kenyataan di Facebook hari ini.
Setakat 12 tengah hari semalam, jumlah sebanyak 1306 kes Covid-19 disahkan di Malaysia. – 23 Mac, 2020.

Komen