Henti pembelian panik, bekalan beras cukup, kata pemborong


Angie Tan

Bekalan beras untuk pengguna mencukupi walaupun tempoh Perintah Kawalan Pergerakan terpaksa dilanjutkan, kata pemborong. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 23 Mac, 2020.

PEMBORONG memberi jaminan stok beras mencukupi susulan pembelian panik baru-baru ini sehingga menyebabkan kekurangan barang keperluan asas di pasar raya.

Menurut mereka, bekalan beras untuk pengguna mencukupi sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan seterusnya.

“Kalau tempoh PKP terpaksa dilanjutkan lepas Mac pun, bekalan beras di Malaysia cukup,” kata seorang pemborong.

Pemborong mencadangkan orang ramai membeli sekadar mengikut keperluan dan bukan secara pukal untuk mengelakkan beras rosak diserang kutu.

Presiden Persatuan Pemborong Beras Malaysia Ng Chee Len berkata 70% bekalan beras Malaysia adalah keluaran tempatan dan selebihnya diimport.

“Beras diimport dari Thailand, Vietnam, Myanmar dan Kemboja. Negara-negara ini boleh mengeluarkan beras yang banyak sepanjang tempoh menuai.

“Bekalan beras tempatan juga stabil. Tidak ada bencana alam atau serangan haiwan perosak. Jadi, tiada masalah, semua orang boleh bertenang,” katanya.

Menurut Ng, bekalan beras cukup untuk dua bulan seandainya PKP dilanjutkan.

“Tak perlu beli banyak-banyak, sayang kalau beras rosak dimakan kutu.”

Pengarah Urusan Tiong Guan Hang (M) Sdn Bhd Cheng Swee Chew juga senada dengan Ng. Cheng berkata pemborong kebiasannya mempunyai stok simpanan yang mencukupi untuk sehingga tiga bulan supaya tidak berlaku kekurangan bekalan dalam jangka masa pendek.

Katanya, pembekal di Malaysia mempunyai simpanan beras beribu tan atau lebih, bergantung kepada saiz syarikat.

Pembekal kecil-kecilan mungkin akan mengalami kekurangan tetapi perkara itu adalah biasa, jelas Cheng.

“Mungkin akan berlaku kekurangan bagi beberapa pembekal kecil-kecilan kerana mereka hanya menyimpan 10 tan beras dan menjual kira-kira satu tan sehari. 

“Sekarang orang beli 20 tan beras sehari, peningkatan permintaan kira-kira 10 kali ganda. Jadi, tidak cukup. Bagi pembekal berskala besar, ini tidak menjadi satu masalah,” katanya.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna berkali-kali mengingatkan orang ramai supaya tidak membuat pembelian panik kerana bekalan makanan mencukupi. Bagaimanapun, setakat empat hari PKP dilaksanakan orang ramai masih beratur panjang di pasar raya membeli barangan dalam kuantiti yang banyak.

Menteri Kanan Fadillah Yusof semalam berkata hanya seorang sahaja iaitu ketua keluarga dibenarkan keluar untuk membeli barangan keperluan dan ubat-ubatan sepanjang tempoh PKP.

Beliau turut berkata kebenaran untuk membawa ahli keluarga lain bergantung kepada budi bicara pihak polis. – 23 Mac, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen