TINDAKAN seorang bilal surau di Pulau Pinang yang membenarkan sekumpulan bukan Islam berlindung semasa banjir baru-baru ini adalah contoh toleransi tanpa mengira kaum dan agama, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Joseph Kurup.
Kurup berkata, ini kerana toleransi merupakan tindakan merayakan perbezaan dan tidak melihatnya sebagai satu penghalang.
“Semasa banjir besar di Pulau Pinang baru-baru ini, tema ini boleh dilihat dalam kes bilal Surau Taman Free School yang menyelamatkan nyawa 70 orang bukan Islam seperti orang Cina dan India dengan menjemput mereka berlindung dalam surau itu sementara menunggu air surut,” kata Kurup semasa berucap pada majlis Sambutan Hari Toleransi Sedunia di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) di Gombak, Selangor hari ini.
Kurup berkata, ini merupakan contoh dilakukan seseorang berhati mulia dalam keadaan kecemasan tanpa melihat perbezaan agama dan kaum.
“Tragedi ini di mana ribuan menjadi mangsa sebenarnya membawa rakyat daripada pelbagai agama dan kaum untuk bersama berdepan dengan bencana.
“Ramai rakyat dari pebagai latar belakang ke depan membantu mangsa tanpa mengira kaum atau kepercayaan mereka,” katanya.
Menurut Kurup, tindakan Perdana Menteri Najib Razak dan Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi turun ke Pulau Pinang walaupun negeri itu diperintah pembangkang merupakan contoh amalan politik matang.
“Pada saya, ini merupakan satu senario yang menarik yang membuktikan politik matang diamalkan.
“Jauh di lubuk hati kita, kita tahu inilah Malaysia dan perbezaan politik tidak akan menghalang usaha bersama untuk menyelesaikan masalah rakyat,” katanya.
Menurut Kurup, perjalanan ke arah menjadi negara yang dihormati bukanlah perkara mudah dan tiada jalan pintas.
“Bagaimanapun, saya percaya sikap toleransi dan penerimaan kepelbagaian yang dimiliki oleh masyarakat Malaysia yang membawa kita ke hari ini.
“Kita bijak menangani setiap cabaran supaya tidak berlarutan sehingga boleh menimbulkan konflik yang menjejaskan negara,” katanya.
Sapno Tukijo, bilal surau Taman Free School yang membawa hampir 70 orang penduduk India dan Cina dari kawasan sekitar Lengkuk P Ramlee pada jam 2 pagi itu tidak mempedulikan kritikan yang dilemparkan terhadapnya.
“Saya tak kisah apa orang kata, yang penting nyawa mereka dapat diselamatkan.
“Saya tahu ada yang akan mengecam tindakan itu namun saya rasa lebih bersalah sekiranya melihat mereka yang tidak tahu ke mana arah hendak dituju,” katanya.
Antara yang lantang mengkritik tindakan Sapno membenarkan bukan Islam berlindung di surau itu ialah pendakwah kontroversi Zamihan Mat Zin.
Merujuk kepada gambar yang viral mengenai kejadian itu Zamihan berkata, situasi di Pulau Pinang masih tidak boleh dikelaskan sebagai darurat.
“Situasi gambar di atas tidak sepatutnya berlaku,” kata pegawai kader Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) yang sebelum ini berdepan kontroversi selepas mengkritik Sultan Johor dalam isu dobi khusus untuk orang Islam.
“Ia tidak boleh dikategorikan sebagai darurat kerana masih ada ikhtiar lain untuk keperluan mereka.” – 16 November, 2017.
Komen