Perkarangan Masjid Al-Aqsa ditutup kerana Covid-19


Ia adalah kali pertama sejak 1967, tapak suci ketiga orang Islam itu ditutup disebabkan arahan Waqf, yayasan Islam yang menguruskan perkarangan itu. – Gambar AFP, 23 Mac, 2020.

PERKARANGAN Masjid Al-Aqsa di Baitulmaqdis akan ditutup sepenuhnya kepada orang awam bermula hari ini, kata pihak berkuasa yang menguruskan tempat suci orang Islam itu.

Tindakan yang jarang dilakukan itu bertujuan untuk memerangi penularan wabak Covid-19.

Ia adalah kali pertama sejak 1967, tapak suci ketiga orang Islam itu ditutup disebabkan arahan Waqf, yayasan Islam yang menguruskan perkarangan itu, kata Pengarah Masjid Al-Aqsa Sheikh Omar al-Kisswani kepada AFP.

Israel yang mengawal pintu keluar masuk perkarang sebelum ini sudah menyekat akses ke kawasan itu, yang menjadi aspirasi perjuangan kemerdekaan Palestin.

Menurut kenyataan dikeluarkan Waqf semalam, penganut tidak boleh melawat kawasan itu buat sementara waktu “berasaskan cadangan pihak berkuasa agama dan perubatan”.

Beratus orang hadir sesi solat jemaah di kawasan itu pada Jumaat selepas masjid itu ditutup oleh Waqf kerana wabak itu- pengurangan mendadak berbanding jumlah 30,000 yang biasanya hadir ketika usaha pencegahan penularan wabak diperhebat.

Hanya kakitangan masjid dibenarkan terus bersolat di luar kawasan masjid, kata kenyataan semalam.

Jordan adalah penjaga perkarangan itu yang dikenali orang Islam sebagai Haram al-Sharif, atau Temple Mount oleh orang Yahudi yang terdiri daripada Masjid Al-Aqsa dan Qubbat As-Sakhrah.

Pihak berkuasa seluruh dunia sudah mula mengenakan sekatan ke atas perhimpunan massa, termasuk solat berjemaah dalam usaha mengekang penularan wabak.

Polis Israel menghadkan jumlah orang yang masuk ke kawasan itu, yang terletak dalam Baitulmaqdis timur ditawan Israel, dan meletakkan beberapa tempat saringan untuk penduduk tempatan.

Kementerian Kesihatan Israel melaporkan 1,071 kes positif Covid-19 dan satu kematian.

Pihak Berkuasa Palestin pula melaporkan 57 kes positif di Tebing Barat dan Tebing Gaza melaporkan dua kes semalam. – AFP, 23 Mac, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen