PUTRAJAYA mempercepatkan permohonan daripada pembuat produk pembungkusan untuk kembali beroperasi supaya bekalan makanan tidak terganggu ketika perintah kawalan pergerakan berkuatkuasa.
Ia susulan pembuat makanan memberitahu The Malaysian Insight bahawa mereka kehabisan kotak dan beg plastik untuk membungkus bahan jualan mereka.
Walaupun pembuat makanan dibenarkan terus beroperasi ketika perintah sekatan, dari 18 Mac hingga 31 Mac, kilang tidak dapat mengeluarkan produk pembungkusan kerana mereka diarahkan henti operasi.
Pembuat produk pembungkusan ini memohon kepada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) untuk kembali beroperasi ketika perintah kawalan pergerakan bagi memenuhi permintaan pembekal makanan.
Bagaimanapun, mereka masih menunggu respons daripada MITI.
Jurucakap MITI memberitahu The Malaysian Insight bahawa kementerian itu menerima ribuan permohonan daripada pelbagai syarikat untuk menyambung semua operasi ketika perintah sekatan.
Kementerian itu berkata ia bekerja 24 jam sejak perintah sekatan bermula untuk meneliti dan memberikan kelulusan.
“Kami melakukan sebaik mungkin untuk mempercepatkan permohonan daripada pembuat produk pembungkusan tetapi kelulusan hanya boleh diberi jika syarat dipatuhi,” kata jurucakap itu dalam satu kenyataan kepada The Malaysian Insight.
Sepanjang tempoh perintah sekatan hingga 31 Mac, Majlis Keselamatan Negara (MKN) membenarkan perniagaan dan agensi kerajaan yang diklasifikasikan sebagai “penting” untuk beroperasi.
Penutupan sebahagian perniagaan bertujuan meminimumkan hubungan antara individu dalam membendung penularan Covid-19.
Setakat ini, enam maut di Malaysia akibat virus itu sementara jumlah kes jangkitan meningkat kepada 1,183 di seluruh negara.
Seramai 37 pesakit di unit rawatan rapi sementara 114 pulih dan dibenarkan keluar dari hospital. – 22 Mac, 2020.
Berita penuh di sini.
Komen