Buruk baik kerah tentera bantu kuat kuasa PKP


Sheridan Mahavera

Usaha membendung Covid-19 bergantung kepada tahap disiplin dan kesedaran sivik rakyat Malaysia kerana polis dan tentera tidak boleh berada di semua lokasi pada setiap masa. – Gambar fail The Malaysian Insight, 22 Mac, 2020.

KERAHAN tentera untuk mengukuhkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menunjukkan betapa serius kerajaan mahu mengekang penularan wabak Covid-19 kepada rakyat.

Bagaimanapun masih terdapat kebaikan dan keburukan daripada keputusan itu apabila kerahan tentera mula dilaksanakan hari ini, kata penganalisis, pakar dan veteran tentera.

Kata mereka, keberkesanan untuk membendung virus itu tidak sepenuhnya bergantung kepada jumlah anggota keselamatan yang dikerah.

Tambah mereka, usaha itu bergantung kepada tahap disiplin dan kesedaran sivik rakyat Malaysia kerana polis dan tentera tidak boleh berada di semua lokasi pada setiap masa.

“Sama ada langkah ini membantu mengurangkan jumlah kes, ia masih bergantung kepada kerjasama dan disiplin rakyat Malaysia,” kata seorang penganalisis dari Pusat Dasar Kesihatan dan Sosial Galen.

“Kejayaan negara seperti Hong Kong, Singapura dan Taiwan tidak bergantung kepada kehadiran tentera tetapi kerjasama rakyatnya,” kata Ketua Eksekutif Galen Azrul Mohd Khalib.

Penganalisis politik Mohd Azlan Zainal pula mempersoalkan sama ada kerahan akan menambah beban kewangan dan sumber kerajaan yang sudah banyak dikeluarkan bagi mengekang wabak ini selain mengatasi krisis ekonomi.

“Tentera tidak patut digunakan untuk mengawal jalan dan menyuraikan himpunan,” kata Azlan yang merupakan pemikir dari Ilham Centre.

Baik – lebih patuh

PKP yang mula dikuatkuasakan pada 14 Mac lalu hingga 31 Mac ini, bertujuan mengehadkan kontak sosial dan pergerakan antara rakyat Malaysia bagi membendung penularan wabak Covid-19.

Setakat 21 Mac, lapan orang disahkan maut akibat penyakit ini manakala jumlah kes jangkitan di seluruh negara sudah mencecah 1,183.

Seramai 37 pesakit ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) manakala 114 individu sudah pulih dan dibenarkan pulang.

Malaysia dikenakan perintah kawalan pergerakan selama dua minggu dan ibu kota kini lengang. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 22 Mac, 2020.

Menurut Menteri Pertahanan Ismail Sabri Yakob, keputusan menggunakan kerahan tentera disebabkan kedegilan segelintir rakyat Malaysia yang melanggar perintah PKP supaya kekal di rumah.

Azlan bersetuju bahawa usaha untuk memastikan rakyat Malaysia mematuhi perintah itu menjadi satu cabaran walaupun sudah empat hari dikuatkuasakan.

“Tujuan utama adalah untuk mengawal, menguatkuasakan dan mendidik rakyat tentang PKP.

“Langkah ini tertumpu di kawasan yang masih dikunjung orang ramai dan jalan-jalan utama, stesen minyak dan pasar, dan mula menyekat waktu operasi lokasi berkenaan.

“Bagi kerajaan, kerahan tentera diharap dapat membantu polis melicinkan pelaksanan perintah ini.”

Azrul juga bersetuju dengan pandangan tersebut dengan berkata bahawa tentera dapat meluaskan liputan pelaksanaan PKP.

“Kehadiran fizikal di jalanan dapat menjadi komunikasi yang jelas kepada rakyat bahawa krisis ini memerlukan kerjasama mereka untuk membantu negara mengharungi detik sukar ini.”

Buruk – Doktrin berbeza

Bagaimanapun penganalisis dan Persatuan Patriot Kebangsaan (Patriot)mempersoalkan penggunaan tentera ketika suasana aman.

Presiden Patriot Mohamed Arshad Raji berkata Malaysia sudah mempunyai kekuatan 130,000 anggota polis termasuk Pasukan Gerakan Am (PGA).

“Negara mempunyai pasukan polis yang efektif dan berpengalaman dengan terbukti sebagai salah satu pasukan keselamatan terbaik di rantau ini,” katanya.

“Perlu diingatkan juga bahawa penggunaan tentera akan memberi gambaran buruk kepada masyarakat antarabangsa. Kita tidak mahu melihat negara ini digambarkan seperti zon perang.”

Wabak Covid-19 menyebabkan timbul pelbagai soal berkaitan nilai demokratik dijunjung negara. – Gambar fail The Malaysian Insight, 22 Mac, 2020.

Sementara itu, Azrul berkata latihan tentera adalah berbeza berbanding polis, sekali gus memerlukan panduan yang jelas tentang tindakan yang boleh diambil atau tidak.

“Polis mengendalikan masalah rakyat dengan konteks pelaksanaan undang-undang.

“Tentera pula dilatih untuk berperang dan berdepan musuh. Walaupun terlibat dalam operasi kemanusian,  peranan mereka selalunya tidak banyak berubah,” kata Azrul.

Azlan berkata kerahan tentera akan menggunakan lebih banyak sumber kerajaan yang sepatutnya boleh disalurkan ke agensi lain seperti sektor kesihatan untuk menjadikan mereka lebih efektif.

“Jika mereka dikerah, tentera tidak boleh digunakan untuk menyuraikan orang ramai dan mengadakan sekatan jalan tetapi digunakan secara strategik untuk tugas pematuhan.”

“Tentera sepatutnya disimpan dan dikerah ketika fasa kritikal dan pilihan terakhir,” kata Azlan. – 22 Mac, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen